KUALA LUMPUR : Keadaan pemain drum terkenal, Yazit Ahmad kini masih kritikal dan dipantau di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur.

Terdahulu, pemuzik berusia 57 tahun itu dikejarkan ke wad Urologi dan Nefrologi hospital berkenaan kira-kira jam 3 pagi Selasa lalu selepas mengadu sesak nafas.

Doktor mengesahkan dia mengalami kecederaan otak (brain damage) berpunca daripada kekurangan oksigen dalam badan.

Menerusi kemaskini akaun Facebook milik abang Yazit iaitu Zahid Ahmad, mesin bantuan hayat akan dicabut pada bila-bila masa mulai pukul 8.35 pagi tadi.

“Bantuan hayat akan dicabut pada bila-bila masa mulai 8.35am,” tulisnya.

Bagaimanapun difahamkan alat bantuan pernafasan sudah dibuka kira-kira sejam lalu dan bekas anggota kumpulan Search itu kini boleh bernafas semula jadi secara perlahan.

Yazit mempunyai seorang isteri, Ramlah Ahmad, 59, serta tiga cahaya mata iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurlis, 29

– UTUSAN ONLINE