YB Asmuni Awi bukanlah figura yang asing dalam arena politik di negara ini dan negeri Perak khususnya. Beliau yang mula aktif dalam sejak 2015 mendapat mandat dari rakyat di Dewan Undangan Negeri Manjoi setelah memenangi kerusi tersebut pada Pilihanraya Umum ke -14 pada 9 Mei lalu. Beliau kini komited menyusun perancangan dan langkah untuk berkhidmat kepada rakyat Perak.
Beliau berkongsi transformasi dan perancangan untuk membangunkan kupulan sasar di dalam portfolio beliau iaitu Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar Dan Pembangunan Usahawan.
Kerajaan yang ada pada hari ini berikrar untuk terus komited memartabatkan agama Islam bagi memastikan syariat dan syiar Islam terus subur di negeri ini.
Empat Transformasi untuk Agama dan Pendidikan Islam
YB Asmuni Awi berkata beliau melihat terdapat beberapa aspek yang akan diberi perhatian oleh kerajaan dalam menggalas tanggungjawabnya mengurus tadbir agama.
“Perubahan pertama adalah menukar peranan masjid yang konvensional semata-mata sebagai lokasi beribadah kepada fungsi yang lebih pelbagai terutama membantu masyarakat setempat dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Saya lihat perlunya untuk lakukan transformasi kerana kita tidak mahu masjid dilihat sebagai tempat untuk tujuan solat fardu dan solat jenazah. Sekali-sekala ada keluarga gunakan untuk mandikan dan solat jenazah tetapi ini pun jarang kerana masih ramai yang buat solat jenazah di rumah,” ujar beliau.
Beliau berkata, masjid juga perlu dimasyarakatkan untuk menarik lebih ramai terutamanya belia untuk hadir ke masjid.
“Kita lihat jemaah yang datang ke masjid ini orang-orang yang sudah bersara ataupun umurnya sudah menjangkau 50 tahun ke atas dan waktunya adalah ketika solat Isyak dan Subuh. Tetapi bagi anak-anak muda kita lihat tidak ramai yang datang ke masjid kecuali pada waktu-waktu tertentu,” kata YB Asmuni.
Beliau berpendapat antara faktor yang gagal menarik anak-anak muda ataupun orang ramai ke masjid yang ialah pengurusan masjid sendiri yang tidak menarik masyarakat Islam untuk hadir.
“Sebagaimana yang disebut kalau Islam nak mencapai zaman kegemilangannya kena pastikan waktu subuh itu sibuknya macam mana waktu solat Jumaat. Pada saya benda itu tidak mustahil dilakukan tetapi dalam konteks Malaysia ini jauh lagilah,” ujar beliau dengan nada kecewa.
Justeru, beliau mencadangkan agar pengurusan masjid mengamalkan konsep lebih mesra supaya ia dapat mewujudkan suasana yang lebih kondusif untuk orang ramai ke rumah ibadat itu.
“Saya juga ingin melihat kenduri perkahwinan contohnya diadakan di kawasan masjid. Jadi kita mesti mendidik masyarkat bahawa masjid bukan hanya terhad untuk aktiviti solat semata-mata,” kata beliau.
Mewujudkan taman permainan dalam kawasan masjid juga merupakan langkah awal bagi memupuk minat generasi muda terhadap masjid, katakanya.
“Katakan mereka bermain games di kawasan masjid, apabila masuk waktu solat, mereka boleh solat berjemaah dan kemudian sambung permainan mereka. Ini tidak mustahil,”katanya.
Selain itu, YB Asmuni turut menyarankan agar pengurusan masjid untuk meraikan kanak-kanak yang datang ke masjid dengan mengadakan kemudahan yang sesuai dengan mereka.
“Jika budak-budak datang ke masjid kita raikan bukan anggap mereka sebagai penganggu. Keadaan ini amat berbezalah kalau kita bandingkan dengan rumah-rumah ibadat agama-agama lain dimana mereka meraikan semua pihak dan tidak banyak masalah yang ditunjukkan di situ.
“Yang jadi masalah apabila ibu bapa yang berkecil hati sebab ditegur kerana anak-anak mereka buat hal sedikit di masjid. Jadi mereka tidak datang lagi masjid, jadi kuranglah satu jemaah. Kalau dua tiga orang macam ini apa jadi?,” kata beliau dan menasihati pengurusan masjid untuk menyantuni golongan jemaah cilik ini.
Pengurusan tanah perkuburan
Menyentuh mengenai aspek pengurusan tanah-tanah perkuburan yang pada hari ini tidak dalam keadaan diurus dengan baik dan sistematik, YB Asmuni mengusulkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengindahkan dan mempunyai susun atur kubur yang lebih sistematik.
“Kalau kita lihat di Perak ini, kubur-kubur termasuk di kawasan bandar pengurusannya tidak teratur. Sebagai contoh, selepas upacara pengebumian satu jenazah itu kalau ada waris yang nak datang kemudiannya dia akan sesat kerana cara penyusunan kubur itu yang tidak diatur.
“Walaupun sudah ada kemajuan pada beberapa tempat terutama kubur-kubur baru tetapi ini tidak bermakna kubur-kubur lama itu harus kita biarkan dalam keadaan begitu sahaja,” kata beliau.
Beliau mengusulkan agar aspek kebersihan diberikan perhatian pada sepanjang masa dan usaha untuk menjadikan tanah perkuburan itu seperti satu taman yang cantik dan indah.
“Misalnya satu perkuburan agak lama di Ipoh, saya lihat pada musim-musim tertentu sahaja kebersihannya dikekalkan tetapi pada waktu-waktu lain tidak dijaga sampai ular sawa, ular senduk ada. Ini membahayakan mereka yang mahu ziarah,”tambah beliau lagi.
YB Asmuni juga merencana untuk mempertingkatkan keselamatan sekolah-sekolah tahfiz di mana perlunya kepada kebenaran untuk menubuhkan sekolah tersebut. Menurut beliau, perlu ada pengawasan ketat pihak berkuasa supaya perkara tidak diingini boleh dielak daripada berlaku.
“Sekolah tahfiz setahu saya tumbuh macam cendawan, saya tidak pasti sama ada penubuhan sekolah tahfiz itu perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam ataupun masyarakat sendiri ataupun tidak.
“Jika tidak, ia perlu diperkemaskan mungkin melalui peraturan ataupun satu undang-undang kecil supaya aspek-aspek keselamatan bagi sekolah-sekolah ini dapat dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata, faktor pertanggungjawaban ini penting jika berlaku sesuatu yang tidak diingini selain untuk tujuan pemantauan Kemudiannya terhadap kualiti, sukatan pembelajaran dan aspek-aspek lain yang penting.
Sebagai pengamal undang-undang Syariah, YB Asmuni sememangnya sudah sedia maklum dengan isu yang dibangkitkan dalam Mahkamah Syariah serta tahu apakah masalah-masalah yang membelenggu. Oleh itu, beliau berazam untuk mendapatkan mekanisme sesuai dalam penguatkuasaan keputusan mahkamahSyariah.
“Aspek penting yang perlu dilihat di Mahkamah Syariah adalah apakah penambahbaikan yang boleh dilakukan terutama dalam bidang kuasa penguatkuasaan.
“Saya maksudkan begitu kerana seperti yang kita tahu bahawa Mahkamah Syariah ini tidak ada kuasa untuk mendengar dan menguatkuasanya kepada orang bukan Islam.
“Contohnya kes yang bersangkutan dengan perintah harta sepencarian. Kalau dahulu harta sepencarian ini hanya melibatkan tanah bendang, rumah, harta-harta tradisi dimiliki sama ada bekas suami atau isteri. Tetapi di dalam dunia moden ini dia sekarang ini sudah melibatkan harta-harta alihan seperti saham, ekuiti dalam syarikat-syarikat antarabangsa dan sebagainya. Ini juga akan melibatkan pelaburan.
“Soalnya melalui pengalaman saya sendiri apabila perintah mahkamah syariah ini cuba dikuatkuasakan kepada badan-badan ini mereka mengatakan we are not bound by your law because we are not Muslim. Kami bukannya orang Islam how could you enforce your order on us. Jadi sekiranya kalau perintah yang cantik dia perintah pembahagian dan sebagainya tetapi tidak dapat dikuatkuasakan yang ini merupakan satu perkara yang seolah-olah saya kata tak perlu pergi mahkamah. Just as good as paper judgement yang tiada nilainya. Jadi bila satu perintah itu tidak dapat dikuatkuasakan penghormatan kepada mahkamah itu sendiri akan kurang,” terang beliau dengan panjang lebar.