BERUAS: Hampir empat bulan menggunakan kertas sebagai kipas dan lampu berkuasa bateri untuk menerangi rumah, akhirnya dua beranak gembira apabila pendawaian elektrik rumah mereka dibaik pulih oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU).

Salehah Ariffin, 50, berkata, dia bersama anak lelakinya berusia 10 tahun sering mengadu rasa tidak selesa selepas pendawaian rumah mereka terbakar akibat puntung rokok.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 petang Jun lalu apabila dia menyedari rumahnya terbakar ketika pulang dari kedai berhampiran.

“Akibat daripada itu, pendawaian rumah kami mengalami kerosakan dan dengan pendapatan RM20 sehari hasil bekerja di kantin sekolah berhampiran serta upah mengutip biji sawit, sukar untuk menampung kos kerugian daripada insiden itu.,” katanya ketika ditemui pada Program Pemimpin Prihatin Bersama Rakyat NBOS- Risda, Felcra, YBU dan Giat Mara di Kampung Bakar Bata di sini, pada Rabu.

ybu-bantu 4

Menurut Salehah, dengan keadaan cuaca kini, anaknya sering rasa terganggu terutama ketika mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan akhir tahun.

“Saya rasa gembira sangat apabila YBU dan pihak yang terlibat prihatin dengan masalah kami dan kami dapat menikmati kembali kemudahan elektrik.

“Ia memudahkan kami dua beranak menjalani urusan harian. Jika sebelum ini, bila panas kami tumpang rumah mak di sebelah, kini kami dapat berehat di rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, YBU turut menyampaikan sumbangan dan baik pulih kira-kira 60 rumah sepanjang program Permukiman Menteri Besar daerah Manjung kali ini.

“Kita menjalankan kerjasama dengan Giatmara menjalankan program kesedaran pemeriksaan pendawaian elektrik dan baik pulih rumah.

“RISDA dan FELCRA juga turut membantu memberi bantuan berupa bantuan bulanan kepada penerima dan pekebun kecil risda berupa makanan dan peralatan,” ujarnya.