IPOH: Prihatin dengan kesulitan yang dialami sekeluarga mangsa pokok tumbang di Kg Seri Keramat, Pasir Puteh, Yayasan Bina Upaya (YBU) membantu mengemas rumah berkenaan dan memindahkan mangsa ke rumah yang lebih selamat.

f11785e2-6bb5-41e0-b290-3412f09396c6

Seramai 25 kakitangan dan sukarelawan YBU yang diketuai sendiri Ketua Pegawai Operasinya, Hairul Anwar Mohamed Noor melaksanakan kerja-kerja pembersihan mulai jam 11 pagi.

Turut hadir sukarelawan daripada Persatuan Budak Bus Stand (Big Bro) yang diketuai Presidennya, Amiruddin Mohd Daud.

Wakil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) turut hadir untuk menyampaikan bantuan wang tunai kepada mangsa, Sariah Din, 68.

 

Ketika menceritakan kejadian kira-kira jam 4.30 petang Selasa lalu, Sariah berkata, ketika itu dia tinggal bertiga di rumah bersama suami, Abd Jamal Badarudin, 73, dan anak istimewanya, Azlan Alfikin, 28.

“Ketika hujan lebat dengan kilat dan ribut, anak makcik sedang membasuh pinggan di dapur manakala suami sedang berbaring di katil tengah kerana dia tidak sihat.

“Apabila ribut bertambah kuat, makcik segera memeluk anak dan suami, membawa mereka ke depan rumah sambil meminta suami azan.

“Makcik nampak macam puting beliung dan terdengar atap zing berbunyi kuat dan diikuti pokok tumbang menghempap rumah,” katany kepada Suara Perak.

Sariah bagaimanapun bersyukur kerana tidak ada sesiapa yang cedera di dalam kejadian itu.

Sementara itu, Hairul memberitahu, keluarga tersebut akan dipindahkan ke sebuah homestay di Taman Temara dekat sini sementara menunggu unit Flat SUK, Station 18 siap dengan bekalan air dan elektrik yang dijangka dalam tempoh seminggu.