IPOH: Minatnya dalam bidang andaman pengantin mula berputik sejak kecil lagi apabila seringkali dibawa ibunya yang menjadi mak andam ke rumah-rumah kenduri kahwin di sekitar Taiping.

 

Pengalaman melihat ibunya menyiapkan pakaian pengantin dengan peralatan solek dan menghias pelamin mengajar Nurul Ain Ahmad Kamal, 24, seorang usahawan berjaya dalam bidang itu.

 

Dia yang kini pemilik Malina Bridal Collections tidak menganggap kejayaan yang dikecapinya bersandarkan untung nasib sahaja tetapi hasil usaha dan berkat kesabaran serta semangat untuk menjadi seorang pengusaha andaman yang berjaya.

16716285_742372122585874_8339669002180080796_o16602604_742370762586010_2724872143689486490_n

“Tiada jalan mudah dan singkat untuk mencapai sesuatu kejayaan kerana dalam bidang Andaman ini, ia memerlukan pengalaman, ketelitian dan kesabaran agar hasil yang diperolehi benar-benar memuaskan,” katanya.

 

Nurul Ain adalah antara 10 usahawan yang turut berkongsi pengalaman sempena lawatan kerja Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) di sini semalam.

Dia yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam bidang itu berkata, apabila mengambil alih perniagaan tersebut dari ibunya, dia membuat pinjaman daripada YBU sebanyak RM30,000 tahun lalu.

 

“Dengan pinjaman itu, saya gunakan untuk membeli peralatan baharu yang lebih moden kerana pelanggan amat menggemari pelbagai eksesori yang saya tawarkan kepada mereka mengikut perkembangan semasa,” ujarnya.

 

Menurut Nurul Ain, dalam mengamalkan budaya berniaga, dia mengenepikan sifat tamak dengan sentiasa mementingkan kualiti segala aksesori yang ditawarkan kepada pelanggan agar ia benar-benar memuaskan pelanggan.

 

“Saya berpegang dengan prinsip sentiasa mementingkan kualiti kerana mahu memastikan perniagaan yang diceburi ini dapat terus bertahan meskipun berdepan persaingan dengan pengusaha andaman lain,” tambahnya.

 

Nurul Ain mengakui YBU banyak membantu mengembangkan perniagaannya sehingga memperolehi purata keuntungan melebihi RM6,000 sebulan.

16641113_742362555920164_3998207962618980679_n

Dia turut menawarkan pakej andaman pengantin, khemah dan catering makanan bagi setiap pengantin antara RM10,000 dan RM15,000.

 

“Saya bersyukur kerana sambutan yang diberikan penduduk di Taiping amat menggalakkan dan selepas ini saya sedang memikirkan untuk membesarkan perniagaan saya,” ujarnya penuh yakin.

 

Sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan yang ditawarkannya, boleh menghubungi Nurul Ain di talian 012-5634192 atau 019-5746882.