IPOH – Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menyerap Yayasan Bina Upaya (YBU) ke dalam Yayasan Perak bagi menyelaras usaha membantu golongan memerlukan serta mempertingkatkan ekonomi rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, di bawah Yayasan Perak itu juga, program-program diwujudkan di bawah YBU sebelum ini tetap akan diteruskan dan beberapa program baharu akan diperkenalkan.

“Sebenarnya ini kembali semula kepada tujuan asal Yayasan Perak ditubuhkan iaitu untuk membantu mengupayakan rakyat memerlukan dan meningkatkan ekonomi rakyat serta memberi fokus dalam bidang pendidikan anak-anak Perak.

“Program-program di bawah YBU sebelum ini seperti perumahan rakyat miskin, bantuan mikrokredit, bantuan kotak makanan dan sebagainya tetap akan diteruskan di bawah unit-unit bakal diwujudkan di bawah Yayasan Perak itu sendiri, ia akan diteruskan dan diperhebatkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Ramah Mesra Menteri Besar Perak Bersama Kepimpinan Mahasiswa Perak Sesi 2018/2019 di sini pada Ahad.

Tambah Ahmad Faizal lagi, kesemua pekerja-pekerja peringkat bawahan YBU juga turut akan diserapkan ke dalam Yayasan Perak kecuali peringkat atasan.

“Pekerja peringkat bawah contohnya di unit mikrokredit dan sebagainya mereka dah kenal peminjam-peminjam kalau kita tukar susah, jadi kita teruskan.

“Jadi jangan bimbang kalau kata apa kita buat ini kita akan buang pekerja dan sebagainya adalah tidak benar, namun peringkat atasan itu mereka sebelum ini lantikkan politik maka kita (kerajaan negeri) tidak dapat meneruskan lantikan berkenaan,” ujarnya.

YBU sebelum ini diwujudkan pada tahun 2009 oleh pimpinan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum ini bagi membantu kerajaan menangani isu-isu kemiskinan melalui program-pogram bersifat membina upaya masyarakat serta pembasmian kemiskinan.