IPOH: YBU Holdings Sdn Bhd telah menawarkan sebuah unit rumah teres berharga RM150,000 kepada setiap 28 keluarga setinggan PPRT Air Kuning, Changkat Jering.

Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar. Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamed berkata, YBU Holdings turut menawarkan untuk menanggung kos sewa rumah sehingga RM600 sebulan bagi tempoh 12 bulan dan kos pemindahan ke rumah sewa sebanyak RM2,800 kepada keluarga berkenaan.

Beliau menjelaskan, penempatan 28 keluarga setinggan PPRT Air Kuning, Changkat Jering di kawasan seluas 15 ekar sejak sekian lama adalah merupakan penempatan setinggan sementara.

“Meskipun kawasan sekeliling telah membangun dengan pesat tetapi kawasan ini terus terpinggir tanpa kemudahan asas semmpurna sebagai sebuah kawasan penempatan,” katanya semasa menjawab soalan lisan Datuk Seri Ir Mohamed Nizar Jamaluddin (AMANAH-Changkat Jering) pada sidang DUN pada Jumaat.

Menurut beliau, cadangan pembangunan bercampur yang dikemukakan oleh YBU Holdings merangkumi tiga komponen iaitu pembangunan industri komersial dan juga perumahan.

Katanya, cadangan industri teknologi tinggi seluas 49 ekar yang dikenali sebagai ASEAN Mactag Inovation Park (MTOP) merupakan yang pertama di rantau Asia Tenggara bagi membaik pulih penyelenggaraan peralatan perubatan pusat penyelidikan, pusat latihan dan pusat ujian bertauliah bertaraf antarabangsa.

“Bagi tujuan menyelesaikan masalah setinggan di kawasan cadangan ini maka YBU Holdings dengan kerjasama pejabat daerah Larut Matang Selama telah mengadakan pertemuan awal dengan semua penduduk yang terlibat .

“Tawaran yang dikemukakan YBU Holdings kepada semua penduduk yang terlibat ialah pertama setiap keluarga asal akan ditawarkan sebuah rumah teres, tiga biik dan dua bilik air keluasan lantai 1,000 kaki persegi secara percuma,” katanya.

Menurut Saarani, berdasarkan rekod bancian pejabat daerah dan tanah keseluruhannya pihak syarikat itu akan memperuntukkan RM10,000 untuk setiap keluarga yang membolehkan mereka berpindah sementara bagi membolehkan projek perumahan berkenaan dijalankan.

“Proses ini baharu sahaja dimulakan dan setakat ini tiada sebarang persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak dan YBU Holdings akan meneruskan perbincangan dengan penduduk yang terlibat dengan kerjasama pejabat daerah sehingga mencapai kata sepakat,” ujarnya.