IPOH: Selepas kejayaan beberapa program untuk mengupayakan rakyat negeri Perak, Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) mengorak langkah bekerjasama dengan Majlis Belia Negeri (MBN) Perak melaksanakan program Usahawan Belia Francais Amanjaya.

Ketua Pegawai Operasi YBU, Hairul Anwar Mohamed Noor berkata, sebagai perintis, seramai 10 belia diberi pinjaman mikro kredit tanpa faedah sebanyak RM6,000 untuk memulakan perniagaan itu.

Menurut beliau, program itu juga diusahakan dengan kerjasama syarikat DBE Poultry Sdn. Bhd. dibawah jenama Harumi.

“Belia yang ingin menyertai program ini boleh menghubungi pihak Majlis Belia Daerah masing-masing dan mereka perlu mengikuti kursus yang disediakan pihak MBN dan DBE Poultry,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek pinjaman di pejabat YBU di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden MBN Perak, Aswanuddin Hariffuddin berkata, pihaknya mensasarkan 60 belia menyertai program itu menjelang hujung tahun ini.

“Kita memilih Harumi kerana yakin dengan kebersihan dan kualitinya. Berdasarkan pengalaman belia yang telah menyertai program ini, hasil jualan bulanan mencecah RM50,000 dengan keuntungan kira-kira 60 peratus atau sekitar RM26,000,” ujarnya.

Di samping itu, tambahnya, pihak syarikat juga mempunyai pelan pembangunan perniagaan, bermula dari kiosk ke Harumi Eskpres, `food truck’ dan akhirnya restoran.

“Kami juga akan membuat pemantauan setiap peserta, misalnya juga jualan merosot, kami akan turun padang untuk melihat sendiri apa masalah mereka dan mencari jalan untuk mengatasinya,” kata Aswanuddin.

Beberapa peserta yang ditemui pula berkata, program itu sangat baik kerana ia mampu membantu mereka meningkatkan taraf hidup dengan pendapatan tambahan yang agak lumayan.

Mohd Azam Saad, 30, dari Kampar berkata, dia akan memulakan perniagaan itu bulan hadapan untuk menambah pendapatan sebagai juruteknik sebuah kilang.

“Program ini sangat baik dan saya berharap ia akan memberi peluang kepada lebih ramai lagi belia di negeri ini, daripada melepak sahaja, lebih baik ambil peluang ini,” ujarnya.

Salman Jihani, 40, dari Batu Gajah yang juga sependapat dengan Mohd Azam berkata, dia akan memberi tumpuan kepada perniagaan itu yang dijangka dimulakan bulan hadapan.