SLIM RIVER: Yayasan Bina Upaya (YBU) meneruskan program `Food For All’ dengan memberi makanan percuma kepada 300 kakitangan awam di sekitar Muallim sepena program permukiman Menteri Besar di daerah tersebut.

IMG-20170721-WA0028

Kakitangan tersebut terdiri daripada pekerja am Majlis Daerah Tanjung Malim, Pejabat Tanah dan Daerah Muallim, anggota polis bomba dan hospital.

Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib menyampaikan makanan percuma itu dalam satu majlis khas pada Jumaat di Kak Bibah Kafeteria di sini, sebuah restoran yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 2012.

Khusairi berkata, pemberian itu yang diadakan dengan kerjasama pejabat wakil-wakil rakyat di Parlimen Tanjung Malim adalah sebagai tanda ingatan dan terima kasih kepada pihak yang banyak membantu dalam pembangunan daerah ini.

“Mereka ini adalah hero yang tidak didendang yang banyak membantu membangunkan daerah ini,” katanya kepada pemberita pada majlis itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi YBU, Hairul Anwar Mohamed Noor.

Program `Food For All’ diperkenalkan YBU sejak Permukiman Menteri Besar di Daerah Kuala Kangsar pada Mei lalu.

Dalam pada itu, Khusairi melahirkan rasa puas hati perjalanan program permukiman itu, yang memberi peluang rakyat bertemu dengan Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri disamping menyuarakan masalah setempat.

“Saya berharap masalah-masalah yang diajukan rakyat sepanjang permukiman ini dapat diselesaikan dengan berkesan oleh kerajaan negeri,” ujarnya.