KUALA KANGSAR – Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU)  bercadang merintis sebuah program khas bagi memperbaiki keputusan akademik di seluruh negeri dengan menggunakan pendekatan komunikasi antara pendidik, ibubapa dan pelajar.

Pengerusi YBU, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan program itu bersesuaian dengan fungsi yayasan tersebut sebagai agen pembasmi kemiskinan dan perintis aspek pendidikan yang lebih holistik dan inovatif.

“Kita percaya sekiranya kanak-kanak ini diasuh, dibimbing dan diberikan motivasi, mereka mampu melonjakkan prestasi akademik mereka dengan konsisten, apatah lagi dengan dorongan ibubapa.

“Ibubapa hari ini, apa  yang saya lihat, mereka semakin sibuk mencari nafkah sehingga terlupa akan keperluan anak mereka yang juga memerlukan perhatian, perkara ini perlu seimbang khususnya untuk pembesaran anak-anak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Sayong di sini pada petang Khamis.

Seramai 120 murid membabitkan lima buah sekolah rendah di sekitar daerah Kuala Kangsar menerima manfaat menerusi program kelas tuisyen anjuran YBU bermula Jun ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan dan Pembangunan Modal Insan berkata, program yang dikenali sebagai Program Cahaya Kasih itu mendapat kerjasama Maybank dan merupakan program kemasyarakatan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan sekolah.

Beliau berkata program itu bertujuan memberi sokongan moral kepada murid sekolah yang kurang berkemampuan dalam membantu memperkasakan tahap pendidikan mereka ke arah pembangunan pendidikan di negara ini.

“Murid yang terbabit dengan kelas tuisyen itu adalah mereka yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan kriteria pemilihan pelajar ialah murid yang berpontensi cemerlang dalam akademik dan kokurikulum serta pendapatan keluarga mereka kurang dari RM1,500 sebulan.

“Kita akan memantau keputusan peperiksaan murid yang terpilih ini sebelum dan selepas mereka menyertai program ini,” katanya lagi.

Saarani berkata, lima buah sekolah yang terpilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Lama Kanan, SK Sayong, SK Bendang Kering, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sey Wah dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Enggor di sini.

Katanya, mata pelajaran yang ditawarkan dalam program berkenaan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang mana tenaga pengajar terdiri daripada guru sekolah yang terlibat

Beliau berkata, program kelas tuisyen itu akan diadakan sebanyak dua kali sebulan dan satu jam diperuntukkan untuk setiap mata pelajaran.

Menurut beliau, kelas tersebut akan dilaksanakan sebanyak dua sesi iatu sesi pertama pada Jun hingga Ogos tahun ini manakala sesi kedua diadakan pada Februari hingga Ogos tahun depan.

“Ini merupakan tahun kedua program ini dilaksanakan, tahun lepas kita adakan program ini di Sekolah Menengah Ulu Kinta dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jelapang Jaya di Ipoh,” ujarnya.