TAPAH: Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) menyampaikan sumbangan 260 bungkusan makanan kepada anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan petugas hospital malam ini di bawah program `food for all’.

Ketua Pegawai Operasi YBU, Hairul Anwar Mohamad Noor berkata, sumbangan itu adalah program keempat dilaksanakan sempena Permukiman Menteri Besar, yang kali pertama diperkenalkan ketika Permukiman Menteri Besar di Daerah Kuala Kangsar.

Menurut beliau, program itu antara lain untuk menghargai mereka yang telah banyak membantu menjaga keselamatan negara di samping melancarkan perjalanan program permukiman.

“Bagi kami, mereka adalah ‘unsung hero’ yang memainkan peranan cukup penting di dalam kehidupan seharian kita,” katanya kepada Suara Perak selepas menyampaikan sumbangan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, malam ini.

YBU-food 3

Hadir sama Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw dan Ahli Lembaga YBU, Tun Mohamad Ammar Aziz.

Superintendan Somsak di dalam ucapannya di majlis itu mengucapkan terima kasih kepada pihak YBU kerana memilih IPD Tapah sebagai salah satu destinasi program tersebut.

Sementara itu, pada sebelah petang tadi, YBU meraikan lapan sukarelawan antarabangsa yang turut mengambil bahagian di dalam beberapa aktiviti sepanjang program permukiman.

Hairul yang turut hadir bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif YBU, Datuk Ismail Saffian berkata, mereka merupakan sebahagian peserta program pertukaran pelajar yang dilaksanakan Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia (AFS).

Menurutnya, pelajar-pelajar tersebut datang daripada beberapa buah negara seperti Germany, Italy, Perancis dan Jepun.