IPOH: Sejak tiga tahun lalu, Ahmad Chik, 50, terpaksa tinggal di rumah yang cukup daif, beratapkan zing yang dihimpit papan, berlantaikan tanah yang dialas karpet usang dan dinding bata yang tidak di simen.

Kedaifan rumahnya yang mungkin boleh dianggap pondok buruk, turut mengundang ayam dan kucing untuk bersama-sama menumpang teduh daripada hujan dan panas.

Setiap kali hujan lebat diiringi angin kencang, Ahmad yang masih bujang, sentiasa bimbang mengenai keselamatannya, bimbang atap runtuh dan binatang berbisa kerana rumahnya dinaiki air disebabkan tiada longkang.

Bagaimanapun, selepas mengadu hal kepada Baitulmal, pondok buruknya kini berubah, bermula dengan bekalan eletrik, air dan atap yang sempurna, pondok Ahmad kini menjadi rumah yang semakin selesa untuk diduduki.

Lebih selesa apabila Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) membuat lantai simen, menyiapkan simen dinding dan longkang di sekeliling rumah.

Menceritakan nasibnya, Ahmad yang berasal dari Gerik, berhijrah ke Ipoh pada tahun 1990 untuk mencari kehidupan yang lebih selesa.

Bagaimanapun, nasibnya berubah apabila kilang tempatnya bekerja menghentikan operasi kira-kira tiga tahun lalu dan dia terpaksa ditamatkan perkhidmatan.

Berbekalkan wang pampasan, Ahmad menggunakan RM10,000 mengupah orang membuat rumah, tetapi malangnya tidak cukup untuk sebuah rumah yang sempurna dan selesa.

Lebih menyukarkan apabila dia mengidap penyakit kencing manis sehingga satu jari kakinya terpaksa dipotong, di samping mengidap darah tinggi.

Mujurlah jirannya sudi membantu untuk meringankan bebannya dengan memberi sambungan bekalan elektrik dan air paip secara percuma.

Selepas mendapat sebuah rumah yang lengkap dan selesa, YBU sekali lagi tampil untuk membantu membersihkan kawasan di dalam dan luar rumah Ahmad.

“Syukur alhamdulillah kerana pihak YBU sudi datang lagi membantu, sebak rasanya memikirkan kesudian mereka untuk membantu,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

YBU-rumah-daif 4

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Sukarelawan, Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Komunikasi YBU, Salim Putra Ahmad Shibi berkata, seramai 20 sukarelawan yayasan itu, termasuk daripada Taj International College menyertai gotong royong membersihkan rumah Ahmad.

Menurutnya, mulai sekarang, pihak YBU mengambil pendekatan baru dengan membantu membersihkan kawasan rumah penerima yang benar-benar memerlukan.

Beliau berkata, berdasarkan pendekatan lama, YBU hanya meminta pihak kontraktor melakukan kerja-kerja baik pulih rumah sahaja.

“Sekarang ini, sukarelawan kita akan bantu bersihkan sekali kawasan rumah penerima yang benar-benar tidak berkeupayaan.

“Contohnya rumah ini (Ahmad), dia tinggal seorang dan kalau kita biarkan dia buat sendiri, mungkin tahun depan pun tak habis lagi,” jelasnya.