IPOH: Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Perak, Sabri Ahmad Tah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memperdaya seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk membabitkan projek tanah dan pasir bernilai RM150,000 di Perak empat tahun lalu.

Sabri Ahmad memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru pada Rabu.

Sabri dituduh menipu Datuk Allan Chuah Chin Lai untuk mempercayai bahawa dia kononnya akan mendapat projek tanah seluas 108.4 hektar di Kampar.

Menurut kertas pertuduhan, Sabri didakwa menipu Chin Lai dengan menjanjikan projek kawasan pasir untuk dibekalkan kepada pembangunan bangunan kerajaan di bawah NAZA TDDI kepada DPMM Perak dan Semarak Sinergi Sdn Bhd.

Sabri dituduh dengan curangnya mendorong ahli perniagaan itu menyerahkan tiga cek berjumlah RM150,00 yang ditunaikan Baharuddin Ahmad bagi pihaknya (tertuduh) yang mana wang tersebut tidak akan diserahkan oleh Chin Lai sekiranya dia tidak diperdayakan.

Sabri didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Maybank Cawangan Teluk Intan, di Medan Mahkota Jalan Ah Cheong, Teluk Intan antara jam 10 pagi hingga 2 petang pada 25 julai 2014.

Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Hakim memerintahkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua orang penjamin serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

Kes tersebut akan disebut semula pada 8 Ogos depan bagi membolehkan serahan dokumen dibuat kedua-dua pihak.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu dan Olinda Nicholas.