PETALING JAYA : Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa Anwar Ibrahim melakukan serangan seksual terhadapnya, sedia menjalani ujian poligraf untuk membantu siasatan kesnya.

Peguamnya Haniff Khatri Abdullah berkata, walaupun mungkin tidak diterima mahkamah, anak guamnya percaya ujian yang pernah digunakan agensi penguatkuasaan tempatan itu boleh membantu “melengkapkan siasatan mereka secara adil dan muktamad”.

“Beliau sanggup dan bersedia menjalani ujian poligraf pada bila-bila masa, tarikh dan tempat yang ditentukan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Yusoff juga tahu seperti ujian forensik lain, tiada peruntukan undang-undang khusus untuk melakukan ujian poligraf dalam siasatan jenayah, tetapi percaya dengan adanya teknologi sedemikian dalam bidang kuasa kita, ia patut digunakan dalam siasatan ini untuk menyokong dakwaannya, selain akuan berkanun sukarela yang disahkannya pada 19 Nov 2019.”

Ujian poligraf antara pilihan dipertimbangkan polis dalam siasatan ke atas dakwaan serangan seksual Yusoff.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman melancarkan siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seseorang, berdasarkan laporan polis Yusoff pada 7 Dis lalu.

Yusoff, cucu kepada aktivis pengguna terkenal, SM Mohamed Idris, sudah 2 kali disoal siasat polis Bukit Aman minggu lalu.

Dalam akuan berkanunnya, Yusoff berkata, beliau menolak cubaan Anwar mencabul kehormatannya ketika mereka bertemu di rumah presiden PKR itu pada 2 Okt tahun lalu.

Ujian poligraf yang digunakan polis, tentera dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatan mereka, akan mengesan gerak balas fisiologi seperti tekanan darah, denyutan nadi dan pernafasan untuk mengesan sebarang pembohongan berdasarkan soalan dikemukakan penyiasat.