IPOH: Pemain kelahiran Australia, Zac Anderson, 27, kini sah menyarung jersi pasukan Perak selepas menandatangani kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata kemasukan bekas pemain pertahanan import PKNS FC itu bagi menguatkan benteng pertahanan pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Beliau menyifatkan kehadiran pemain baharu itu sebagai pilihan tepat untuk menambahbaik beberapa kelemahan yang sudah dikenalpasti selepas mengharungi saingan musim lalu.

“Pemain ini diikat mengikut keperluan pasukan bagi mengharungi musim ini. Zac memiliki pengalaman beraksi di sini dan dia turut memiliki kualiti kepimpinan di tengah padang selain kelebihan fizikal yang akan membantu pasukan.

“Saya dengan Ketua Jurulatih, Mehmed Durakovic telah berbincang panjang lebar dengan Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu keperluan kita kuatkan pertahanan dan beliau bersetuju untuk ambik Zac,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas mengenai kekosongan satu lagi import pasukan itu, Adly Shah menjelaskan pihaknya enggan terburu-buru dan mahu mendapatkan pemain yang benar-benar berkualiti bagi mengisi slot import kelima.

“Kami kena tunggu dulu kerana bagi saya, perkara ini kena buat dengan sebaik mungkin. Selepas itu barulah kami membuat keputusan,” ujarnya.

Mengenai dakwaan Perak ingin mengikat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli untuk mengisi kuota import Asia Tenggara, beliau berkata, ia tidak benar.

Malah, beliau turut menafikan ramai pemain Perak, termasuk penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy akan berhijrah.