BAGAN DATUK: Persatuan Juruukur Bangunan Berdaftar Malaysia (RBS) dan Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) diarah menilai kembali status fizikal semasa semua bangunan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara bangunan itu ialah premis tahfiz, rumah anak yatim, sekolah agama, tadika, pusat jagaan kanak-kanak dan orang tua.

Menurut beliau, ekoran kebakaran bangunan asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung di ibu negara bulan lalu, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah Sekolah yang beliau pengerusikan.

Katanya, jawatankuasa tersebut telah mengadakan mesyuarat dan meneliti beberapa perkara yang boleh diperbaiki secepat mungkin.

“Untuk itu saya mahu badan-badan profesional seperti RBS dan RISM mengambil inisiatif menilai kembali status fizikal setiap bangunan bagi mengelakkan kebakaran berlaku, ” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan rumah baharu mangsa kebakaran di Kampung Batu 9, Hutan Melintang di sini pada Ahad.

Sebanyak 11 rumah membabitkan sembilan keluarga berketurunan India dapat menyambut Deepavali pada tahun ini setelah menerima rumah baharu sumbangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Anggota Parlimen Bagan Datuk.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pemantauan dan penilaian keselamatan perlu diadakan secara berterusan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku terutama mengorbankan nyawa.

Sementara itu mengulas mengenai majlis penyerahan rumah itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata ia jelas membuktikan komitmen kerajaan bagi meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat.

Sementara itu sambutan Deepavali kali ini amat bermakna bagi keluarga P. Ragu, 36, seorang buruh ladang kerana dapat menyambut di rumah baharu.

“Saya berasa sangat gembira apatah lagi tak lama lagi akan sambut Deepavali. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Datuk Seri Zahid kerana tolong kami dapatkan rumah semula,” katanya.

Pembinaan 11 rumah yang dibina atas plot tanah asal dengan keluasan 2.45 hektar itu menelan kos RM527,600 yang mula dibina hujung Mac ini dan siap sepenuhnya enam bulan kemudian.

Kebakaran kira-kira pukul 11 pagi, 17 Nov tahun lalu memusnahkan 10 daripada 12 rumah, meninggalkan mangsa sehelai sepinggang, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid ketika melawat kawasan kebakaran menyatakan kesediaan memberi bantuan tambahan kepada kerajaan negeri bagi memastikan semua rumah terbabit disiapkan dalam tempoh terdekat.