KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) ke-12 di Bangunan Utama Parlimen hari ini bagi membincangkan penyelarasan tadbir urus sumber air merangkumi negeri-negeri.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramamiam.

Turut serta menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri dan wakil-wakil negeri.

Ahmad Zahid berkata MSAN kali ini memfokuskan kepada penyelarasan tadbir urus sumber air ke arah meningkatkan lagi kecekapan serta keberkesanan pengurusan dan pembangunan sumber air negara merangkumi lima perkara utama.

“Ia termasuk kerajaan negeri mempercepatkan proses pengambilan balik tanah projek-projek di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) serta mempergiatkan program kesedaran dan melonggarkan syarat-syarat penyambungan meter melalui Pihak Berkuasa Air Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan negeri, katanya, perlu memastikan kawasan tadahan air dipelihara daripada sebarang aktiviti pembangunan tidak terkawal termasuk pertanian yang boleh menjejaskan sumber air.

“Kerajaan persekutuan pula akan menerokai sumber-sumber air alternatif, mempergiat kempen penjimatan air dan memperkenalkan struktur tarif air bagi menggalakkan penggunaan air secara berhemah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata tanggungjawab rakyat sebagai pengguna penting khususnya dalam memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan untuk menjayakan kempen penggunaan air secara berhemah serta pengurusan permintaan bekalan air secara cekap. – Bernama