BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur pengusaha inap desa di negeri ini yang mengambil kesempatan sempena demam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 dengan mengenakan harga melampau.

Menurutnya tidak salah untuk mereka membuat keuntungan sepanjang tempoh PRU14 ini dengan menaikkan harga bilik berikutan permintaan tinggi.

Kata beliau bagaimanapun mereka tidak berlaku adil sekiranya kadar yang dikenakan terlalu melampau sehingga melebihi dua kali ganda.

Katanya ada sesetengah pengusaha ‘menuai hasil’ sehingga membebankan orang ramai pada detik-detik akhir menjelang PRU.

“Seperti di sini (Bagan Datuk) misalnya, inap desa penuh dan tidak ada tempat untuk anak Bagan Datuk balik yang datang berkunjung, hotel penuh di Teluk Intan, Simpang Empat pun sama.

“Dulu homestay berharga RM 50 jadi RM 80 dan ada yang naik sampai RM 100 dan akhir semalam saya dengar satu bilik…bukannya satu rumah mencecah sehingga RM 160.

“Saya mintaklah pengusaha ini walaupun ikut penawaran dan permintaan, tolonglah biarlah berpadanan yang penting mereka tidak terbeban, walaupun ini masa untuk ‘menuai’, janganlah terlalu menjadi keluang atau kelawang untuk kutip untung,” ujar Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Teedo Resort, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan kebimbangan di atas tindakan pengusaha inap desa itu, yang akhirnya akan merugikan diri sendiri.

“Saya khuatir di luar musim ‘menuai’ (PRU) nanti, mereka tidak punya pelanggan.Sebab harga terlalu mahal maka tidak ada lagi orang yang akan datang ke inap desa,harga biarlah munasabah dan berpada-pada, jangan ambil kesempatan di musim-musim sebegini,”katanya.