KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menolak dakwaan kononnya hanya orang Melayu sahaja yang berjuang menentang komunis dan penjajah.

Pemimpin Umno itu berkata pakar sejarah seperti Tan Sri Profesor Khoo Kay Kim mencatatkan sumbangan sumbangan pelbagai kaum dalam usaha menentang komunis dan penjajah Jepun.

“Dalam hal ini untuk hanya satu bangsa saja berjuang ke arah itu saya fikir tak tepat,” katanya pada sidang media selepas Merasmikan Diskusi Intelektual : Institut Integriti Malaysia hari ini.

Dalam Konvensyen Kebangkitan Ummah pada Sabtu lalu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Ismail Mina Ahmad dilaporkan mendakwa hanya orang Melayu berjuang menentang komunis, British dan Jepun.

Beliau juga dilaporkan mendakwa orang bukan Melayu ancaman kepada pemerintahan politik orang Melayu-Islam.

Zahid mengingatkan Malaysia negara masyarakat majmuk maka tidak perlu mana-mana pihak menimbulkan polemik kerana semua pihak telah memberikan sumbangan yang terbaik.

“Apabila kita berdepan musuh yang cuba merosakkan negara kita, kesatupaduan bangsa Malaysia atau Malaya ketika itu dalam satu acuan yang cukup,” tegasnya.

-msn news