IPOH: Walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri untuk tidak dilantik sebagai anggota kabinet baharu, Pergerakan Pemuda UMNO Perak pula berpendapat sebaliknya.

Ketuanya, Mohd Arrif Abdul Majid berkata, pihaknya menghormati pendirian dan cadangan itu yang jelas menunjukkan beliau seorang yang berjiwa besar, berani, berintegriti dan bermaruah serta sayangkan negara.

Bagaimanapun, katanya, Pemuda UMNO Perak berpandangan adalah tidak wajar bagi seorang Presiden UMNO yang memiliki kerusi Ahli Parlimen terbanyak dalam kerajaan Perikatan Nasional tidak dilantik sebagai anggota kabinet yang baharu.

“Pemuda UMNO Negeri Perak berpandangan sekiranya kes-kes perbicaraan YB Presiden dijadikan alasan untuk tidak dilantik sebagai anggota kabinet, kami ingin mengajak semua agar berpegang kepada prinsip keadilan “seseorang itu tidak boleh disabitkan kesalahan sehingga mahkamah menjatuhkan hukuman”.

“Kebolehan, pengalaman dan kredibiliti beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini boleh dijadikan sandaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Arrif berkata, berdasarkan kepada itu, adalah sewajarnya Perdana Menteri mempertimbang untuk melantik Zahid sebagai anggota kabinet atas kapasiti Presiden UMNO.

Zahid semasa ucapan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-cawangan 4 Peringkat UMNO Bahagian Bagan Datuk bagi tahun 2020 pagi ini berkata, beliau telah mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya beliau tidak dilantik sebagai anggota kabinet yang baharu.