IPOH: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatannya menjelang kongres persatuan itu yang akan berlangsung 25 Mac ini.

Beliau yang juga EXCO Perak berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Katanya, beberapa faktor dan kepentingan lain juga perlu diberikan keutamaan selain tumpuan khusus terutama terhadap gerak kerja persiapan jentera kerajaan negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya rasa sudah sampai masa untuk saya berundur untuk beri peluang kepada pihak yang lain pula menyampaikan khidmat mereka.

“Semua calon ternyata mempunyai rekod sebagai aktivis bola sepak tanah air dengan kelebihan masing-masing dan ini menjanjikan sesuatu yang positif bagi sukan bola sepak negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainol Fadzi berkata, dalam konteks pembaharuan, FAM memerlukan golongan baharu untuk berada dalam kepimpinan persatuan yang membawa kewibawaan, idea dan kecekapan baru.

Katanya, pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada persatuan negeri seluruh Malaysia yang telah memberikan pencalonan kepadanya hingga meletakkan dirinya pada kongres pemilihan sebelum ini.

Kongres Pemilihan badan induk bola sepak negara itu terpaksa diadakan setahun lebih awal berbanding tarikh asalnya selepas penyandang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, melepaskan jawatan selaku peneraju badan induk itu.

-bharian