IPOH: Presiden Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Datuk Zainol Fadzi Paharudin meletakkan jawatan selepas kelab itu jatuh ke Liga Perdana musim depan.

Peletakan jawatan itu sebagai memenuhi janjinya untuk berbuat demikian jika pasukan PKNP FC jatuh daripada Liga Super.

Surat peletakan jawatan itu yang bertarikh 22 Julai 2019, dialamatkan kepada Setiausaha Kehormat kelab dan salinan kepada Ketua Pegawai Eksekutif PKNP.

“Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas Adalah dimaklumkan bahawa saya Dato Zainol Fadzi Bin Hj Paharudin melepaskan jawatan sebagai Presiden PKNP FC berkuatkuasa pada 22 Julai 2019.

“Sehubungan dengan itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kepercayaan dan kerjasama yang telah diberikan oleh pihak PKNP FC sepanjang tempoh saya menjalankan amanah sebagai Presiden,” katanya di dalam surat yang turut diedarkan kepada media.

Zainol berharap PKNP FC akan terus maju jaya dan cemerlang.

Dalam satu majlis berbuka puasa bersama PKNP FC dan pemain pada Jun lalu, Zainol mencabar pemain supaya meningkatkan prestasi untuk terus kekal dalam Liga Super.

Beliau turut mengumumkan bahawa akan meletakkan jawatan sekiranya pasukan PKNP FC jatuh ke Liga Perdana.