IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menafikan dakwaan kononnya beliau akan kembali kepada UMNO.

Menurut Zainol, ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi juga menafikan dakwaan itu yang tular di media sosial.

Katanya, tidak ada langsung perbincangan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) mengenai perkara itu, malah dakwaan kononnya beliau mengadap Sultan Perak, juga tidak benar.

“Secara peribadi, saya tidak ada sebarang tekanan sebab saya rasa ia tiada kaitan dengan apa juga yang ditularkan, yang mengatakan macam-macam, terbaharu kata saya sudah mengadap Tuanku.

“Semuanya pada saya tidak benarlah seperti yang ditularkan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, pada Khamis.

Sebelum ini terdapat khabar kononnya Zainol dan Nolee bakal kembali ke UMNO, sekaligus menyebabkan Perak akan jatuh kepada UMNO-BN, sekiranya UMNO dan PAS bergabung.

Zainol berkata, walaupun terdapat beberapa ADUN BN yang datang berjumpanya, ia langsung tidak menyentuh mengenai isu yang tular dalam media sosial.

“Kalau ada wakil-wakil rakyat BN yang datang jumpa saya, semuanya datang atas urusan masalah rakyat di kawasan masing-masing yang minta saya cuba bantu.

“Itu sahaja, tidak ada perbincangan kata nak memujuk ke nak mengajak, tidak ada langsung.

“Saya boleh namakan beberapa wakil rakyat yang datang, tapi semuanya masalah rakyat di kawasan masing-masing yang minta kerajaan negeri cuba lihat isu pembangunan di kawasan, isu masalah-masalah rakyat di kawasan, yang itu saja,” ujarnya.

Menurut Zainol, beliau ada menghubungi Nolee pada Rabu petang untuk bertanyakan mengenai isu yang tular itu.

Katanya ADUN Tualang Sekah itu agak terkejut dengan perkara itu dan mengakui tiada sesiapa pun pemimpin BN datang berjumpanya.

“Dia punya ayat yang best tu dia kata, mana boleh dia orang nak arah-arah kita. Arah kita pergi sana pergi sini, no, kita pun ada pendirian dia kata,” katanya.

Beliau berpendapat isu itu timbul kerana hampir dengan sidang Dewan Undangan Negeri yang akan diadakan bulan depan di samping kekalahan Pakatan Harapan pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih.