Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari merancang untuk melangsungkan perkahwinannya dengan bekas calon DAP untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 2014, Dyana Sofya Mohd Daud menjelang hujung tahun ini.

Zairil, 36, mengesahkan akan mendirikan rumah tangga dengan Dyana yang juga merupakan bekas Setiausaha Politik kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang ketika ditemui pemberita sejurus majlis pertunangannya di Hotel Kinta Riverfront.

Beliau turut meluahkan perasaan gembiranya berikutan majlis pertunangan pagi tadi berjalan lancar  sebarang masalah.

Segak berpakaian baju Melayu serba berwarna ‘peach’, Zairil turut meluahkan rasa syukurnya kerana pertunangan itu turut mendapat sokongan ibu bapa dari kedua belah pihak.

“Saya hanya ingin mengatakan bahawa saya sangat gembira, kita semua sangat gembira, keluarga saya dan Dyana…dan sudah tentu ini adalah acara peribadi untuk kedua-dua keluarga.

“Kami menghargai jika anda boleh menghormati majlis ini kerana ini bukan majlis umum , tetapi pada masa yang sama saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.

“Sebarang komen lanjut, saya akan buat pada masa lain,” balasnya ketika diminta mengulas lanjut mengenai pertunangannya dengan Dyana.

Ditanya mengenai tarikh mereka akan disatukan, Zairil berkata majlis perkahwinan itu dijangka diadakan akhir tahun ini.

Kisah dan spekulasi mengenai pertunangan kedua ahli politik DAP itu hangat diperkatakan sejak awal minggu ini di laman sosial dan orang ramai.

Bagaimanapun,tanda tanya mengenai sejauh mana perhubungan dua pemimpin muda ini terjawab apabila Zairil telah menyampaikan berita pertunangan mereka di Facebook semalam (Jumaat) lantas mendapat reaksi positif netizen yang menyampaikan ucapan tahniah.

Zairil sebelum ini telah berkahwin dengan Noor Dahlia Hamzah namun menurut maklumat yang turut tular di media sosial mereka telah bercerai Oktober tahun lalu namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Dyana,31, dan Zairil sebelum ini pernah dilanda kontroversi selepas beberapa keping gambar intim mereka berdua tersebar namun kedua-dua pasangan pemimpin muda ini menafikan individu dalam gambar itu adalah mereka berdua.

Malah, rentetan kontroversi itu April tahun lepas timbul pula satu rakaman video dua individu yang didakwa menari mesra yang turut viral di laman sosial.

Dyana ketika ditanya mengenai rakaman video yang tersebut itu hanya menyifatkan penyebaran gambar itu sebagai pencerobohan kehidupan peribadi seseorang.