KUALA LUMPUR: Pendakwah Kontroversi, Zakir Naik tidak ada dalam senarai merah Interpol, mahupun disebut sebagai entiti pengganas dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin memaklumkan perkara itu, setelah pihak kerajaaan membuat semakan.

“Kementerian juga membuat semakan pada senarai ‘red notice’ Interpol dan dan mendapati nama Zakir Naik tidak tersenarai sebagai orang yang dikehendaki.

“Semakan pada senarai entiti pengganas dalam senarai United Nation Security Council Resolutions (UNSCR) juga mendapati nama beliau tidak tersenarai orang yang disyaki,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang bertanyakan pendirian Malaysia dalam berdepan desakan kerajaan India bagi mengekstradisi Zakir.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, Putrajaya mempunyai hak untuk tidak memenuhi permintaan India supaya Zakir diekstradisi kerana menganggap ia bersifat politik.

“Beliau memasuki dan keluar dari Malaysia melalui saluran yang sah dari segi undang-undang.

“Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan, Malaysia berhak mempertimbangkan untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi tersebut adalah yang bersifat politik seperti dinyatakan Artikel 6 Perenggan (1)(a) Artikel 6 Triti Ekstradisi tanpa menyatakan keperluan sebab penolakan permintaan ekstradisi tersebut.

“Selain itu, terdapat peruntukan untuk tidak meneruskan proses ekstradisi dengan mengambil kira segala hal keadaan demi kepentingan keadilan jika orang yang dikehendaki tersebut tidak akan mendapat keadilan jika dihantar pulang atau terdapat suatu penindasan atau ancaman nyawa terhadapnya,” katanya.

Muhyiddin turut memaklumkan, kerajaan tidak pernah memberi layanan istimewa kepada Zakir untuk berlindung di Malaysia.

India membuat permohonan melalui nota kepada Malaysia untuk ekstradisi pendakwah itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia bertegas tidak membenarkan ekstradisi Zakir.

Beliau berkata, Malaysia berhak tidak membenarkan Zakir diekstradisi jika beliau tidak diberikan keadilan.

Pihak berkuasa India memfailkan tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah kira-kira RM115 juta terhadap Zakir, yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia.

Pada 16 Jun ini mahkamah di Mumbai dijangka membuat keputusan sama ada satu waran tangkap tidak boleh jamin perlu dikeluarkan atau sebaliknya.

Sekiranya dikeluarkan, India akan meminta bantuan Interpol bagi menahan Zakir dan membawanya pulang untuk dibicarakan. Beliau juga dituduh menimbulkan kebencian dan permusuhan antara pelbagai komuniti agama melalui syarahannya.

 

-FMT