IPOH 12 April – Pakatan Harapan Perak meminta pentadbiran kerajaan negeri terdahulu menjelaskan mengenai pembelian tanah seluas 107.3 hektar oleh syarikat kepunyaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Datuk Jamaluddin Mohd Radzi pada tahun 2015.

ADUN Ulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, pihaknya difahamkan tanah berkenaan yang dibeli dari Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), dijual lebih rendah daripada harga pasaran iaitu di bawah RM6,000 seekar.

Sedangkan katanya, tanah itu terletak bersebelahan dengan bandar Proton City di Tanjung Malim yang mempunyai potensi tinggi untuk berkembang dari segi harga dan pembangunan.

Sehubungan itu, beliau memberikan tempoh masa selama 48 jam kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir untuk menjelaskan perkara tersebut sebelum pihaknya terpaksa melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Keadaan ini menimbulkan banyak pertanyaan kenapa syarikat kepunyaan Datuk Jamaluddin mendapat layanan istimewa daripada kerajaan terdahulu.

“Adakah ini disebabkan peranannya dalam pertukaran kerajaan negeri Perak pada tahun 2009 atau adakah layanan istimewa ini disebabkan beliau tidak dicalonkan sebagai calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)?” soalnya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE