IPOH: Pelbagai spekulasi diperkatakan berhubung kedudukan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku Menteri Besar Perak, termasuk beliau dikatakan akan bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Antara kawasan dikaitkan dengannya ialah Parlimen Kuala Kangsar dan Lumut. Selain itu, banyak juga spekulasi siapa pengganti beliau jika Barisan Nasional (BN) kekal memerintah Perak selepas PRU14.

Semua spekulasi itu bagaimanapun cakap-cakap kosong berikutan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Zambry terus mengetuai jentera BN negeri pada PRU14.

Ketika mendedahkan amanah Perdana Menteri itu dalam temubual khas bersama Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) di sini baru-baru ini, Zambry berkata, misinya kini memastikan Perak kekal dalam tangan BN.

“Mengenai kedudukan saya, jawapan biasa saya adalah serah kepada pucuk pimpinan. Bagaimanapun, penegasan yang perlu saya sebutkan di sini adalah Presiden parti meminta saya mengetuai persiapan pilihan raya kali ini.

“Jadi faham-faham sahajalah, apa yang berlaku selepas itu tidak perlu saya jawab. Saya faham perasaan dan pandangan yang mahukan saya (ke Pusat), tapi pada masa sama, dalam konteks negeri pun kita perlu beri pertimbangan.

“Keputusan yang dibuat parti adalah saya meneruskan tugas untuk memimpin (negeri). Tumpuan kami ketika ini adalah memastikan supaya Perak dapat kita pertahankan.

“Itu misi saya, jadi saya harap semua pihak tak perlu lagi buat spekulasi berkaitan kedudukan saya kerana tumpuan dan keutamaan kita adalah untuk memastikan pilihan raya ini kita (BN) akan menang,” katanya.

Ketokohan Zambry yang juga Pengerusi BN Perak dalam politik dan pentadbiran, selain pemegang dua ijazah doktor falsafah (PhD), menjadikan pemimpin itu dilihat sangat diperlukan di peringkat Pusat.

Beliau menerajui dan membangunkan Perak apabila BN mentadbir semula negeri pada 2009, selepas 11 bulan pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri sebaik menang PRU-13 pada 2008.

Zambry berkata, semua pihak perlu memahami ada dua institusi penting dalam pelantikan Menteri Besar, iaitu kepemimpinan tertinggi parti dan Sultan bagi negeri beraja.

Katanya, pelbagai pandangan dan spekulasi termasuk ketika PRU lalu mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar serta nama tertentu kononnya bakal pengganti beliau, datang daripada pihak luar termasuk pembangkang.