IPOH: Kerajaan pusat masih memerlukan kepakaran pendakwah Zamihan Mat Zin mengendalikan program pemulihan tahanan militan Daesh di Penjara Tapah, Perak, walaupun kerajaan Selangor tidak membenarkannya berceramah di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun tidak dibenarkan memberi ceramah di Selangor, kepakaran Zamihan dalam bidang pemulihan akidah militan masih boleh digunakan.

“Dalam perkara ini Zamihan adalah salah seorang pakar pemulihan dan mengikut rekod, kejayaan pemulihan akidah yang dilaksanakan oleh Zamihan cukup berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Hari Inovasi Huawei Asia-Pasifik 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Zamihan, katanya, adalah aset penting dalam usaha pemulihan akidah pengganas khusus untuk mengembalikan mereka ke jalan benar.

Beliau mengulas kenyataan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya yang mempersoalkan tindakan kerajaan pusat membiarkan Zamihan terus mengendalikan program pemulihan tahanan militan Daesh walaupun beliau (Zamihan) tidak dibenarkan memberi kuliah di Selangor.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Zamihan adalah pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipinjamkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menyemak penerbitan agama dan kini ditempatkan di Jabatan Penjara Malaysia sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.

“Saya tidak fikir beliau harus dihukum dengan jawatan yang diberikan di penjara itu,” katanya sebagaimana yang dipetik oleh Bernama.