KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baharu berkuat kuasa 1 Julai ini.

Perlantikan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu berikutan persaraan Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Kumpulan PNB dan Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) berkuat kuasa 30 Jun 2018.

Lembaga Pengarah PNB juga mengumumkan bahawa Datuk Dr Awang Adek Hussin akan bersara sebagai Pengarah PNB dan Pengerusi PNB Research Institute Sdn Bhd berkuat kuasa 30 Jun.

Sementara itu, YPB juga mengumumkan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) telah memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan Pengerusi YPB berkuat kuasa 28 Jun.

Lanjutan pelantikan itu, komposisi Lembaga Pemegang Amanah YPB juga diubah untuk merangkumi Menteri Hal Ehwal Ekonomi , Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, (juga dilantik sebagai Pengerusi Alternatif YPB), Zeti dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PNB, Lembaga Pengarah YPB dan PNB mengalu-alukan pelantikan Zeti yang juga anggota Majlis Penasihat Kerajaan itu dan yakin dengan pengalaman yang meluas, beliau akan terus memberikan kepimpinan yang kukuh kepada Kumpulan PNB dalam mencapai mandat asasnya untuk memperkasakan kekayaan korporat demi manfaat rakyat Malaysia.

Lembaga Pengarah PNB juga mengucapkan terima kasih kepada Abdul Wahid atas sumbangan yang tidak ternilai dan khidmat penuh dedikasi sebagai Pengerusi Kumpulan PNB.

PNB menghargai kepimpinan Abdul Wahid dan bimbingan yang diberikannya kepada Lembaga Pengarah dan Pihak Pengurusan PNB serta syarikat pelaburannya sejak pelantikan beliau pada Ogos 2016.

Semasa di PNB, Abdul Wahid telah mengukir pelan hala tuju untuk PNB demi mencapai tiga amanah mandat yang komprehensif; menghasilkan pulangan yang mampan dan lebih baik untuk portfolio PNB, meningkatkan kekayaan dan penyertaan ekonomi Bumiputera, dan menyalurkan sebahagian daripada keuntungan PNB kepada inisiatif-inisiatif yang menyampaikan impak sosial kepada masyarakat.

Lembaga Pengarah juga mengucapkan terima kasih kepada Awang Adek atas segala sumbangan selama tempoh perkhidmatan beliau bersama Kumpulan PNB.

PNB adalah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan kini mencapai RM280 bilion.

Portfolio PNB merangkumi pelaburan-pelaburan strategik di syarikat korporat terkemuka Malaysia, ekuiti global, pelaburan swasta dah hartanah – berita harian