IPOH – Jabatan Penyiaran Negeri Perak telah mengadakan Ziarah Tahfiz Perak FM bersempena dengan program Jelajah Ramadan 2018 sempena bulan Ramadan.

Bertempat di Auditorium Kompleks Jabatan Negeri Perak, program yang dianjurkan dengan kerjasama di antara Kelab Sahabat Pendengar Radio Perak, Jabatan Agama Islam Negeri Perak, Majlis Agama Islam Negeri Perak dan Masjid Sultan Idris Shah II itu turut dimeriahkan dengan 31 pelajar Tahfiz Al-Baqarah Manjoi.

Pengarahnya, Sabri Mansor berkata Jelajah Ramadan ini merupakan program yang dianjurkan kesemua Jabatan Penyiaran di seluruh negara.

“Ziarah Tahfiz ini kita sudah lancarkan pada bulan lalu di Manjung. Ia mendapat kerjasama pihak sekolah tahfiz di sana yang mana kita adakan program dengan singgah rumah ke rumah yang terpilih, bersama pelajar-pelajar ini, bagi membetulkan bacaan-bacaan solat.

“Cuma hari ini, kita teruskan acara di Auditorium Perak Fm. Kita adakan juga slot klinik membaiki solat dan juga hari ini kita dapat saksikan, pelajar-pelajar Al-Baraqah turut serta dengan menyampaikan persembahan nasyid mereka,” katanya.

Tambahnya, program tersebut akan diteruskan esok, di Pusat Tahfiz Tambun.

Program tersebut telah dimulakan dengan Solat Asar berjemaah dan alunan ayat suci Al-Quran dari surah Al-Furqan ayat 1-11 oleh pelajar dari Unit Tahfiz Al-Quran Al-Baraqah Manjoi Amirul Safuan Rozdi.

Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II Abd Farid Salleh memimpin bacaan doa selamat, diikuti dengan qasidah, Asmaul Husna, selawat dan nyanyian nasyid dari barisan pelajar tahfiz.

Sementara itu, salah seorang pelajar tahfiz yang juga penyanyi utama dalam persembahan nasyid Muhammmad Aswad Mazharudin, 16, berkata beliau sangat gembira dan bersyukur kerana dijemput untuk hadir ke program ini dan membuat persembahan.

Muhammad Aswad Mazharudin

“Saya dan kawan-kawan juga terlibat buat pertama kali untuk menyertai sesi klinik solat dan kami bersyukur dapat berkongsi ilmu dengan masyarakat dengan memperbetulkan bacaan dalam solat dengan apa yang telah dipelajari.

“Saya melihat ini sebagai peluang untuk melatih kami para pelajar tahfiz untuk mendekati rakyat dan berdakwah secara santai.

Muhammad Aswad turut berharap agar program ini diteruskan untuk setiap tahun kerana ia bagus khususnya untuk generasi muda pelajar tahfiz.