TAIPING – Zoo Taiping dan Night Safari terus mengorak langkah dalam melaksanakan program konservasi haiwan apabila meraikan penerimaan penghuni baharu premis itu meliputi seekor anak seladang, kuda belang dan tiga lagi spesies haiwan sejak penghujung tahun ini.

Kelahiran anak kuda belang betina dengan berat anggaran 30 kilogram itu menjadikan jumlah keseluruhan 20 penghuni baru dilahirkan di dalam zoo tersebut sepanjang tahun ini, termasuk seekor anak ungka tangan putih, seekor anak seladang, seekor anak burung keria mahkota dan lapan ekor anak burung botak upeh.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata, kelahiran ahli keluarga baru Zoo Taiping dan Night Safari ini menambahkan lagi bilangan koleksi sedia ada kepada 120 spesis pameran haiwan termasuk mamalia, reptilia, ikan dan burung.

Menurutnya, kelahiran penghuni baru ini merupakan pencapaian paling berharga dikecapi Zoo Taiping dan Night Safari dalam memastikan program pembiakan dan konservasi dapat diteruskan bagi mengelakkan kepupusan berlaku.

Kelihatan anak seladang sedang menyusu sambil diawasi ibunya

“Anak kuda belang ini merupakan kelahiran pertama dicatat Zoo Taiping dan Night Safari di sini dan menjadikan jumlah keseluruhan kuda belang atau nama saintifiknya Equss Quagga Burchelli yang terdapat di sini, bertambah kepada tiga ekor.

“Namun, kelahiran penghuni baharu paling istimewa pastinya seekor anak seladang pada 19 Oktober lalu merupakan kelahiran keenam sejak tahun 2,000 dan kali terakhir dilahirkan di sini pada tahun 2012,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, selain itu seekor anak ungka tangan putih seberat antara 0.4 hingga 0.5 kilogram dilahirkan pada 22 April lalu, merupakan kejayaan penting di dalam pembiakan spesis ini kerana kali terakhir ianya dilahirkan pada 12 Oktober 2017.

“Sehingga kini, Zoo Taiping dan Night Safari mempunyai 13 ekor spesis ungka tersebut dengan lima jantan,enam betina dan dua ekor anak yang masih belum dikenal pasti jantinanya”, katanya dalam sidang media disini.

Abdul Rahim berkata, pada masa sama, Zoo Taiping dan Night Safari juga berjaya membiakkan seekor anak burung keria dan lapan ekor anak burung botak upeh pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 12 penghuni baru berjaya dilahirkan sepanjang tahun ini.

Bagi perancangan masa hadapan, Abdul Rahim menegaskan pengurusan Zoo Taiping dan Night Safari sedang merangka persiapan untuk membeli empat lagi tambahan haiwan pameran iaitu burung swan (angsa putih) pada tahun hadapan.

“Kami turut mengharapkan penerimaan peruntukan daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bagi membolehkan inisiatif membaik pulih sangkar burung yang rosak dan kerja menaik taraf tempat parkir kenderaan dapat dijalankan pada masa hadapan,” katanya – sinar