TAIPING 23 Jan.- Zoo Taiping (amp) Night Safari menerima kelahiran dua anggota keluarga baharu iaitu seekor anak gajah jantan dan anak burung Spoonbill Afrika pada 30 Dis tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata kelahiran anak gajah jantan seberat 80 hingga 90 kilogram itu menjadikan jumlah keseluruhan habitat gajah di zoo tersebut sembilan ekor iaitu tujuh gajah betina dan dua gajah jantan.

Katanya, anak gajah itu dilahirkan oleh ibunya bernama Taiping dan ia merupakan kelahiran kelima sejak kelahiran terakhir lapan tahun lalu iaitu pada 2011.

“Setiap anak gajah yang dilahirkan hidup bersama ibunya dan akan dijaga bersama oleh gajah-gajah lain dalam kumpulan. Tempoh anak gajah bercerai susu sekitar umur empat hingga lima tahun.

“Anak gajah yang belum dinamakan itu bersama ibunya akan diasingkan daripada kumpulan gajah lain dalam tempoh tiga hingga empat hari sebelum dilepaskan,” katanya pada sidang media mengenai kelahiran itu di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata kelahiran anak burung ‘Spoonbill Afrika’ atau nama saintifiknya ‘Platalea Alba’ seberat 50 gram itu sekali gus menjadikan jumlahnya kini tiga ekor iaitu masing-masing seekor jantan dan betina serta anak burung berkenaan yang belum dikenal pasti jantinanya.

Beliau berkata burung itu mempunyai keunikannya tersendiri iaitu paruh seakan-akan bentuk sudu selain membuat sarang di atas pokok renek dan hutan bakau sebagai tempat persembunyian semasa menetaskan anak.

“Dengan kelahiran baharu itu, ia merupakan antara pencapaian zoo dalam menjamin kelestarian populasi hidupan liar,” katanya sambil menambah sepanjang tahun lalu, Zoo Taiping (amp) Night Safari menerima 34 kelahiran baharu pelbagai spesies dan menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 1,400 ekor haiwan daripada 140 spesies termasuk mamalia, reptilia, ikan dan burung.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata pertukaran spesies haiwan antara Zoo Taiping (amp) Night Safari di sini bersama zoo di Bandaraya Fukuoka, Jepun akan menjadi satu daripada yang akan dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan Bandaraya Fukuoka, Jepun, di Ipoh, esok.

“Selain zoo, Jepun juga amat berminat dengan apa yang terdapat di bandar ini dan mereka sering berkunjung ke bandar ini,” katanya. – BERNAMA