KEPADA orang luar Manong, Mohamad Zuraimi Razali mungkin kurang dikenali namun keadaan sebaliknya buat penduduk tempatan yang sudah masak dengan karektor calon muka baru yang bertanding bagi kerusi DUN Manong ini

Pengalaman sebagai penghulu memperlihatkan Mohamad Zuraimi tidak kekok bertemu dan beramah mesra dengan penduduk walaupun beliau pertama kali bertanding pada pilihan raya umum.

Anak jati Manong berusia 46 tahun itu, mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai pembantu penerangan ketika berumur 26 tahun sebelum bertukar jawatan sebagai Penghulu Mukim Senggang pada 2012.

Walaupun kini berada di platform yang berlainan, Muhamad Zuraimi yang senang disapa dengan panggilan ‘Tok Mi’ merasakan hubungan mesra dengan penduduk memberi kelebihan kepadanya untuk menarik hati pengundi supaya terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

“Ketika berkempen saya guna pendekatan mesra dengan penjawat awam dan orang kampung kerana saya juga mewakili penjawat awam, di samping itu saya berhubung dengan ketua-ketua kampung serta dibantu oleh jentera parti, sayap serta parti komponen,” katanya.

Mohamad Zuraimi berkata beliau tidak kekok untuk berinteraksi dengan penduduk kerana kampung itu adalah tempat kelahirannya dan sebahagian besar penduduk di situ adalah rakan-rakannya.

“Saya tidak kekok untuk berkempen sebab saya sudah tahu isu-isu di kawasan ini. Tugas penghulu juga sama seperti tugas wakil rakyat yang perlu berjumpa rakyat dan mengambil tahu masalah rakyat, jadi ia tugas yang sudah biasa saya lakukan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohamad Zuraimi berkata beliau akan meneruskan dua projek yang menjadi keutamaan dan memberi kepentingan kepada penduduk di kampung itu sekiranya diberi mandat menjadi ADUN Manong.

“Saya akan pastikan kesinambungan projek jambatan Manong yang amat diperlukan oleh rakyat dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan iaitu 2019 dan juga projek jalan Kuala Kangsar ke Manong.

“Ada juga lain-lain fokus saya tetapi dua projek ini adalah paling mustahak yang perlu saya perjuangkan. Ketika ini saya tidak mahu terlalu banyak janji kepada pengundi sehingga saya tidak boleh tunaikan, tidak baik kalau saya berpolitik berlebihan sehingga menipu orang,” katanya.

Selain aktif dalam politik sebagai anggota Jawatankuasa Exco Pemuda Kuala Kangsar, Mohamad Zuraimi juga sering mendapat undangan daripada pihak istana untuk menggalas tanggungjawab sebagai juruacara Majlis Diraja Perak.

Tambah beliau lebih menyenangkan apabila keluarganya turut memahami tugas yang digalas beliau selama ini selain komitmen barunya sebagai calon yang memerlukan beliau berkempen sehingga lewat malam dan menggurangkan masa bersama keluarga.

“Isteri dan lima orang anak saya memang memahami, cuma isteri saya sahaja yang bersimpati kerana dia lihat saya langsung tidak rehat, balik lewat malam, keluar rumah awal pagi sejak mula berkempen,” kata Juruacara Majlis Diraja Perak.

Antara aktiviti rutin harian yang rinduinya semenjak dipilih menjadi calon dan terpaksa turun padang mendekati pengundi dan juga jentera sejak beberpa minggu lalu, beliau memberitahu terasa sedikit kehilangan apabila tidak lagi dapat meluangkan masa bermain bersama anak-anak kecil di taman perumahannya.

“Sebelum ini lazimnya setiap malam jarang sangat keluar rumah kerana mengajar anak-anak jiran di taman perumahan, saya mengaji Al-Quran, memang menjadi rutin harian sehingga sudah terbiasa.

“Kalau tidak mengajar anak-anak itu mengaji, saya akan mengajar silat atau menyertai aktiviti kebudayaan dengan penduduk-penduduk tempatan,” kata Mohamad Zuraimi yang sedar dengan tuntutan tanggungjawab yang diletakkan kepimpinan BN itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah jauh sekali diambil ringan.

Terharu, menurut Tok Mi adalah satu perkataan yang cukup jelas menggambarkan perasaannya sewaktu menerima panggilan “keramat” mengenai pencalonan dirinya mewakili seramai lebih 19,000 pengundi di sekitar DUN Manong.

Bermula sebagai seorang Pegawai Penerangan dan kemudian beralih kepada Penghulu Mukim, Tok Mi berkata tujuh tahun masih merupakan waktu yang singkat untuk mengenali hati budi setiap daripada penduduk di Manong.

“Masih jauh perjalanan saya, dan ruang ini akan saya gunakan untuk berkembang lebih jauh. Bermula di peringkat Mukim ke peringkat DUN pula, tapi pengundi adalah nadi dan tulang belakang saya selama ini, biar di mana pun saya berada atau jawatan apa pun yang saya pegang, mereka tetap di hati,” katanya.

Katanya, jika dahulu beliau menjadi “telefon” atau suara rakyat kepada wakil rakyat di DUN Manong namun kini ianya pasti akan menjadi lebih mudah apabila menggalas amanah sebagai seorang ADUN kawasan itu.

“Segala aduan, segala cercaan, pujian dan masalah di peringkat kampung dan kawasan terpencil di Manong, pernah menyantuni telinga saya, diselesaikan oleh Datuk Kamil. Proses itu, kini seperti melompat satu peringkat lebih pendek, kerana kini, yang menjadi pendengar telah menjadi pelaku.

“Pastinya mereka akan lebih selesa dengan saya, kerana saya memahami mereka secara mendalam, apa yang tersirat dan tersurat serta apa yang mungkin malu untuk dilafazkan kepada orang atasan,”ujarnya penuh harapan.

 

BERITA BERKENAANAjakan debat kerja bodoh pembangkang