IPOH – Lost World of Tambun (LWOT) menerima satu anggota keluarga baharu iaitu Zuzu, seekor kuda belang yang pertama dilahirkan tahun ini pada 11 September lalu.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, anak kuda belang jantan itu menjadi tarikan baharu setelah diperkenalkan kepada pengunjung taman tema air itu, semalam.

“Zuzu seberat 34 kilogram itu sihat dan masih diperingkat penyesuaian diri dengan keadaan dan bebas daripada tekanan.

“Anak kuda belang ini akan ditempatkan dalam kandang berasingan bersama ibunya mengikut tempoh penceraian susu sebelum diperkenalkan dengan haiwan lain di kandang yang sama iaitu zirafah, unta dan burung unta,” katanya dalam sidang media di sini.

Hadir sama, Pemangku Pengarah Perhilitan negeri, Wan Shaharuddin Wan Nordin yang menyaksikan buat pertama kali anak kuda belang itu ketika diperkenalkan kepada orang ramai.

Menurutnya, Zuzu adalah pilihan nama yang diberikan oleh pengunjung menerusi peraduan yang disediakan.

“LWOT mempunyai sepasang kuda belang iaitu Zoey dan Zack dan anak kuda terbabit selepas menerima haiwan liar itu dari Afrika, dua tahun lalu.

“Zoey yang berusia 3 tahun dijaga baik sepanjang tempoh bunting dan dipantau oleh veterinar serta mendapat nasihat daripada pihak Perhilitan sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Nurul Nuzairi berkata, LWOT menyokong usaha Perhilitan dalam kempen kesedaran pemburu haram dan penyeludupan hidupan liar sempena Hari Haiwan Sedunia.

“Kita menyokong kelestarian hidupan liar dengan membantu Perhilitan menjalankan kempen kesedaran dalam kalangan pengunjung LWOT terutama generasi baru serta media sosial.

“Malah, kita menjalinkan kerjasama dengan Perhilitan dengan menyelamatkan haiwan terlindung yang diserahkan oleh individu tertentu. Kita pernah menerima kongkang, burung dan kucing batu,” katanya.

Sementara itu, Wan Shaharuddin berkata, pihaknya berharap kegiatan haram itu dapat dicegah dengan wujudnya kesedaran orang ramai akan isu itu.

“Aktiviti perdagangan hidupan liar ini berada di tangga ke-4 paling banyak selepas pengedaran dadah, penjualan senjata dan pemerdagangan manusia.

“Diharapkan kempen-kepem yang dijalankan pelbagai pihak termasuk pihak swasta dapat memberi kesedara kepada orang ramai untuk bersama membanteras aktiviti ini,” katanya – sinar