IPOH: Penjawat awam adalah merupakan tiang kepada pentadbiran yang menentukan kemajuan negeri, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dr Zambry melahirkan rasa syukur kerana berkat kerjasama dan sokongan daripada penjawat awam, Perak semakin maju, setanding dengan negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pesara kerajaan dan berharap mereka akan terus memberi sumbangan dalam bentuk kesukarelawan.

“Apabila orang bertanya bagaimana Perak boleh sampai ke tahap sekarang, saya tidak menggunakan perkataan ‘I’ atau saya, sebaliknya saya gunakan ‘we’ atau kami.

“Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan pentadbiran yang baik dan kalau ada juga yang nak kata peranan saya, ia mungkin kejayaan saya membentuk sebuah pasukan yang baik,” katanya ketika berucap di Majlis Jasamu Dikenang di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Selasa.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan Exco kerajaan negeri.

Majlis Jasamu Dikenang itu bagi meraikan 262 penjawat awam dari jabatan negeri seramai 142 orang, pihak berkuasa tempatan yang bersara daripada Julai hingga Disember 2016 dan ketua-ketua jabatan yang telah bertukar ke negeri lain.

Pesara menerima insentif RM3,000 seorang dalam bentuk sijil Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Sijil Simpanan Premium (SSP).

Dr Zambry berkata, walaupun insentif itu mungkin tidaklah banyak, tetapi ia adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan negeri kepada mereka.