Aida Aziz

IPOH: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan tiga buah kenderaan di Bandar Baru Putra, Bercham di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai kemalangan itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Yap Teck Seng, 43, merupakan pemandu Perodua Myvi.

“Pihak kami menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar pukul 9.19 malam dan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bergegas ke lokasi.

“Apabila sampai di lokasi, pihak kami mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan yang berlanggar menyebabkan seorang mangsa iaitu pemandu Perodua Myvi tersepit.

“Kenderaan yang terlibat ialah Perodua Myvi yang di dalamnya ada seorang lelaki dewasa (maut), seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

“Bagi kenderaan kedua pula, Proton Exora yang melibatkan seorang perempuan dewasa cedera, manakala satu lagi kereta jenis Kia yang melibatkan seorang lelaki dewasa cedera,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya lagi, walaupun rawatan pertolongan cemas (CPR) dilakukan kepada pemandu Perodua Myvi, namun mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

“Anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa tersepit, kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh orang awam dan pihak ambulans.

“Mangsa yang maut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 10.17 malam,” katanya.