PASIR SALAK: Sekurang-kurangnya 10 buah rumah rosak dalam kejadian ribut di sekitar kawasan Sungai Manik, di sini, petang Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sehingga Isnin, 10 buah keluarga telah membuat laporan kerosakan yang berlaku ekoran kejadian tersebut.

Beliau menjangkakan kemungkinan ada beberapa lagi keluarga akan membuat laporan mengenai kerosakan yang merek alami.

“Bencana telah menyebabkan atap beberapa buah rumah diterbangkan ribut di samping beberapa kerosakan lain,” katanya di sini.

Menurutnya, rumah-rumah yang terlibat adalah masing-masing dua di Parit 6 Pekan Rabu Chenderong, Balai; Parit 3/7R Chenderong Balai dan Parit 5/7L serta masing-masing satu di Parit 8-L; Parit 11/6R; Parit 4/6L dan Parit 18B Sungai Lampam.

Bagi mengurangkan beban kewangan keluarga mangsa, Zainol menghulurkan bantuan segera untuk membaiki kerosakan yang dialami, khususnya mengganti atap.

“Atap-atap rumah yang rosak perlu diganti segera kerana kita bimbang akan timbul masalah lain, lebih-lebih lagi cuaca selalu hujan,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berjalan, pihaknya turut menghulurkan bantuan keperluan harian kepada mangsa.