KUALA KANGSAR – Sepuluh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) hari ini mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak di Istana Iskandariah, di sini.

Majlis mengangkat sumpah itu dilakukan di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Turut hadir Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Majlis itu dimulakan dengan angkat sumpah oleh Asmuni Awi (Manjoi) dan kemudian disusuli dengan Paul Yong Choo Kiong (Tronoh), Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau), Datuk Seri Nizar Jamaluddin (Sungai Rapat) dan Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi).

Sivanesan (Sungkai), Wong May Ing (Pantai Remis), Tan Kar Hing (Simpang Pulai), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Titi Serong) dan Howard Lee Chuan How (Pasir Pinji).

Daripada 10 Exco yang mengangkat sumpah itu, lima daripadanya dari parti DAP, tiga dari Amanah dan dua dari PKR.

Difahamkan satu sidang media khas akan diadakan Isnin ini bagi pengumuman portfolio exco masing-masing.

Pada PRU-14, PH telah berjaya memenangi 29 daripada 59 kerusi DUN Perak, manakala Barisan Nasional (BN) dan Pas masing-masing memenangi 27 dan tiga kerusi DUN.

PH berjaya membentuk kerajaan negeri apabila dua wakil BN yang juga bekas exco kerajaan negeri sebelum ini, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Datuk Zainol Fadzi Paharudin menyatakan sokongan mereka terhadap PH.

Mengikut pecahan parti yang memenangi 29 kerusi tersebut dibawah PH, DAP (18 kerusi), PKR (empat kerusi), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (satu kerusi) dan Amanah (enam kerusi).

Pada 12 Mei lalu, calon tunggal PPBM Perak yang memenangi kerusi DUN Chenderiang, Ahmad Faizal telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dalam satu istiadat sama.