SEPULUH pasangan pengantin baru diraikan penuh meriah sempena program Perkahwinan Ekslusif anjuran D’Assafa Resources di Dewan Orang Ramai Sikamat, Seremban, semalam.

Semua pasangan terbabit sebelum itu mengikuti kursus perkahwinan yang disediakan oleh pihak berkenaan sebelum mereka dipilih menyertai program perkahwinan secara beramai-ramai.

Mohd Aliff Fahizol Abd Ghafar, 23, dan pasangannya Nor Farhana Abu Bakar, 19, menganggap diri mereka bertuah kerana dapat meraikan perkahwinan dengan meriah walaupun hanya perlu membayar RM3,000.

Menurut Mohd Aliff, mereka mengambil masa tiga bulan untuk berbincang sebelum mengambil keputusan untuk mengikuti program berkenaan.

“Kami tidak merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat kerana memikirkan kos perkahwinan yang tinggi dan perlu mengumpul wang terlebih dulu. Tambah pula, saya hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak menentu manakala Farhana bekerja sebagai operator kilang.

“Selepas mengetahui mengenai program ini, kami berbincang dengan keluarga dan mereka bersetuju. Selepas itu, kami terus mendaftarkan diri dan tidak menyangka terpilih,” katanya ketika ditemui pada program itu, semalam.

Katanya, detik istimewa itu akan kekal dalam ingatannya selama-lamanya.

Sementara itu, bapa kepada dua pasangan pengantin, Mohamad Maarof, 63, berkata, dia menyokong keputusan dua anak perempuannya untuk mengikuti program perkahwinan beramai-ramai itu.

Katanya, pada mula anaknya Nor Fazura, 26, dan pasangan Muhammad Iqwan Abu Samah, 29, yang merancang untuk berkahwin dan mereka mengikuti kursus perkahwinan dianjurkan D’Assafa.

“Dia mengajak kakaknya Siti Noorain (28) dan pasangan Muhamad Syamim Mohammad Kamal (24) ikut serta. Ketika itu, mereka dimaklumkan mengenai program itu dan berpakat untuk menyertainya.

“Saya bersetuju kerana bayaran dikenakan sangat murah iaitu RM3,000 untuk pakej perkahwinan lengkap. Sebelum ini, saya sudah menguruskan kenduri perkahwinan untuk empat anak saya dan kosnya mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya.

Penganjur program, Noor Azimah Yazid berkata, pihaknya menganjurkan program itu bertujuan meringankan beban pasangan pengantin daripada golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, lebih 200 permohonan diterima, namun hanya 10 pasangan dipilih yang memenuhi syarat ditetapkan iaitu pendapatan kurang RM1,500 dan anak jati Negeri Sembilan – metro