SEKURANG-kurangnya 10 pendaki terbunuh di selatan Itali semalam selepas dihanyutkan kepala air ketika berada di dalam jurang sebuah gunung selepas hujan lebat di hulu, kata pegawai.

Jabatan Perlindungan Awam berkata, 18 orang diselamatkan, enam daripadanya cedera selepas air naik mendadak di Jurang Raganello di rantau Calabria itu.

Masih tidak dapat dipastikan jumlah mereka yang hilang kerana tidak semua pendaki masuk ke jurang dengan bantuan jurupandu rasmi dan didaftarkan.

Setakat ini, identiti dan warga negara yang maut serta yang tercedera masih tidak diketahui. Difahamkan kebanyakan pelancong dan pengembara yang melawat kawasan di selatan negara itu ialah warga Itali.

Sungai Raganello, sebahagian daripada Taman Negara Pollino, berada di bahagian bawah sebuah jurang sempit sedalam satu kilometer – hmetro