IPOH: Kira-kira 10 buah rumah di kawasan Klebang Prima, dekat sini, terjejas selepas dilanda ribut petang Sabtu.

Exco kanan kerajaan negeri Perak, Asmuni Awi berkata, sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai kejadian itu, beliau bersama pasukan dari Pusat Khidmat Peduli Rakyat DUN Manjoi segera turun melihat keadaan rumah yang terjejas serta mangsa yang terlibat.

“Memasuki waktu maghrib, kami masih melawat rumah-rumah yang rosak akibat ribut tersebut.

“Kira-kira 10 buah rumah yang terlibat, kami telah menyampaikan bantuan atap bagi membaikpulih bumbung yang rosak,” katanya di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi berkata, terdapat beberapa mangsa akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kerana rumah mereka terjejas teruk.

“Insha Allah rumah yang terjejas akan dibaikpulih dengan kadar segera dan semoga mangsa-mangsa yang terlibat bersabar dengan ujian ini,” ujarnya.