ALOR PONGSU – Penantian sepuluh tahun bagi mendapatkan geran tanah seluas 205.9 hektar sebagai hak milik oleh 114 peneroka Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Ban Abu Hassan di sini kini berakhir dengan noktah gembira.

Lebih manis, kejayaan itu dicapai hasil inisiatif Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat mengadakan siri perbincangan insentif dengan kerajaan negeri bagi memastikan hak kesemua peneroka berkenaan segera dibela.

Sham berkata, kawasan tanah berkenaan pada asalnya merupakan tanah kerajaan negeri yang kemudiannya diterokai kumpulan penduduk yang menjadi peneroka asal lebih sepuluh tahun lalu.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba, pada lima tahun lalu tanah kerajaan itu bertukar menjadi hak milik anak syarikat kerajaan negeri, Harta Perak Corporation tanpa pengetahuan peneroka terbabit.

“Tindakan syarikat itu memasang papan tanda larangan menceroboh tanah diterokai penduduk kampung kemudiannya menimbulkan kemarahan mereka yang menganggap hak mereka mengusahakan tanah terbabit diceroboh.

“Kesemua peneroka berkenaan kemudiannya mengadukan permasalahan itu kepada saya dan meminta bantuan supaya hak pemilikan tanah itu dikembalikan kepada mereka,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan geran RTB Kampung Ban Abu Hassan kepada 30 peneroka asal di Dewan Serbaguna Alor Pongsu semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

Sham berkata, prihatin dengan nasib kumpulan peneroka terbabit, pihaknya mengambil inisiatif membincangkan perkara itu dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan barisan Exco kerajaan negeri.

Menurutnya, pihaknya menggesa syarikat Harta Perak Corporation mengembalikan hak milik tanah itu kepada kerajaan negeri dan dipersetujui syarikat berkenaan dengan syarat digantikan dengan keluasan tanah sama di tempat lain.

“Atas bantuan Menteri Besar Perak, syarikat berkenaan bersetuju mengembalikan tanah berkenaan kepada kerajaan negeri mengikut syarat ditetapkan.

“Sebaik diserahkan kembali kepada kerajaan negeri, saya meminta 114 peneroka tersebut mengemukakan permohonan RTB seperti biasa dan syukur ianya diluluskan pada tahun 2013,” katanya.

Sham berkata, setelah permohonan RTB diluluskan dan bayaran premium tanah diselesaikan penduduk, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian bagaimanapun berhadapan masalah untuk mengeluarkan geran tanah lebih awal.

Menurutnya, perkara itu disebabkan keseluruhan kawasan diluluskan itu perlu selesai diwartakan sebagai tanah simpanan Melayu terlebih dahulu.

“Akhirnya, baru-baru ini proses pewartaan tanah terbabit sebagai tanah simpanan Melayu berjaya diselesaikan dan hari ini (semalam) kita berjaya menyerahkan geran tanah kepada kesemua peneroka terlibat.

“Kejayaan penyelesaian permohonan RTB Kampung Ban Abu Hassan ini amat penting dan memberi impak besar terhadap kehidupan penerima geran.

“Kebanyakan penerima geran tanah merupakan penduduk asal kampung berpendapatan rendah yang menjalankan kegiatan pertanian untuk menyara kehidupan. Justeru, keputusan ini pastinya membantu memajukan kehidupan mereka pada masa hadapan,” katanya – berita harian