IPOH – Seramai 100 orang penduduk di dalam DUN Manjoi menerima bantuan zakat berjumlah RM15,000 daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) hari ini.

Program anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tambun Bandaraya Ipoh itu dihadiri 500 penduduk yang juga ahli PPK tersebut.

Penerima merupakan penduduk yang tinggal di tujuh buah kampung dalam Gugusan Manjoi iaitu Kampung Datuk Ahmad Said 1, 2, dan 3, Kampung Sungai Tapah/Seberang, Kampung Sungai Tapah Tambahan dan Kampung Tengku Hussein.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kinta Datuk Mohd Aminuddin Hanafiah berkata program anjuran PPK Tambun Bandaraya Ipoh ini dilihat sebagai sebuah entiti yang berasaskan kepada sektor pertanian yang telah berjaya mengorak langkah lebih jauh lagi.

“PPK Tambun tidak hanya tertumpu kepada sektor pertanian asas tetapi lebih kepada peluang-peluang industri hiliran seperti pengeluaran makanan dan hasil pertanian berbentuk hiliran seperti penggalakkan kursus, pembuatan sos cili, kicap, kerepek dan sebagainya.

 

 

“Sebagai sebuah kawasan yang berada di dalam dan pinggir bandaraya Ipoh, PKK Tambun Bandaraya Ipoh ini perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran memandangkan ia hanya memilik 100 ekar ladang kelapa sawit, jadi tidak boleh hanya bergantung kepada usaha perladangan cara lama,” ujar beliau ketika ditemui Suara Perak pada sidang akhbar selepas melancarkan majlis Muafakat Peladang Tahun 2018 anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Tambun di Perkarangan Kawasan Rukun Tetangga, Kampung Tengku Hussein, di Manjoi, hari ini.

Dengan usaha dan kebijaksanaan ahli lembaga PPK yang diketuai oleh Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Perak Datuk Nadzri Ismail, dapat dilihat bahawa hala tuju dan juga corak bentuk perniagaan yang diterapkan oleh PPK Tambun ini telah mencerminkan keadaan mereka sebagai sebuah kelompok unit peladang yang ada di kawasan bandar.

Aminuddin memuji keberanian Nadzri untuk mengambil langkah mentrasnformasikan sektor perladangan yang mencatatkan kerugian tahun demi tahun dengan memperkenalkan produk-produk hiliran yang berjaya membawa keuntungan bernilai RM6,000 kepada PPK tersebut

“Kita masih lagi meneruskan usaha untuk mengangkat peladang-peladang sejajar dengan kepentinagn sektor perladangan itu sendiri kerana dalam keadaan apa sekalipun sektor pertanian ini akan kekal menjadi salah satu sektor terpenting dalam ekonomi tidak kira betapa modennya negara itu tetapi perkembangan sektor pertanian itu mesti sejajar dengan perkembangan, pertumbuhan attau arus kemodenan yang dialami oleh negara,” tambah beliau.

Aminuddin berkata, beliau dan wakil rakyat yang lain bersedia untuk sama-sama membantu PPK Tambun Bandaraya Ipoh untuk meninjau dan meneroka sektor-sektor baru yang bersesuaian dengan keadaan ataupun landskap PPK tersebut.

Turut hadir ialah ADUN Tambun Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Tambun Datuk Azizul Kama Abdul Aziz.