SEREMBAN 20 Feb. – Kira-kira 1,000 buah kenderaan didapati melakukan kesalahan menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi Sabah dan Sarawak di luar kawasan pengisytiharan.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, perkara itu dikesan dalam Ops Tiris yang dijalankan susulan kes kereta mewah milik jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman disita kerana kesalahan tersebut awal tahun ini.
“Dalam operasi selama sebulan di seluruh negara, kita mengesan hampir 1,000 kende­raan 2,400cc ke atas termasuk kereta mewah melakukan ke­salahan itu.

“Kebanyakan LKM yang digunakan adalah dari Sabah dan Sarawak disebabkan bayaran dikenakan bagi kedua-dua negeri itu jauh lebih rendah berbanding Semenanjung. Semua pemilik­nya telah diberikan Notis 114 dan diarah menyelesaikan perbezaan bayaran LKM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa Operasi Bersepadu Pe­nguatkuasaan Khas Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2018 di sini semalam. Yang turut hadir, Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan.

Operasi bersepadu selama empat jam itu disertai 130 pegawai dan anggota JPJ, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Uzir berkata, kebia­saannya pemilik yang melakukan kesalahan itu membeli kenderaan di Sabah dan Sarawak sebelum dibawa ke Semenanjung, namun tidak mengisytiharkan kenderaan itu digunakan di kawasan baharu.

“Mereka kemudian membayar LKM pada kadar lama yang lebih rendah di Semenanjung. Siasatan mendapati kebanyakan pemilik kenderaan sengaja mela­kukan kesalahan itu manakala ada yang mendakwa tidak dimaklumkan mengenainya semasa membeli kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Uzir berkata, sebanyak 4,380 kenderaan diperiksa dalam operasi bersepadu selama tiga hari itu dengan 2,455 kesalahan dikesan dan 1,420 pemilik kenderaan dikenakan tindakan.

“Melalui strategi penyamaran sebagai penumpang bas, seba­nyak 31 saman dikeluarkan membabitkan 33 bas kerana tidak menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilome­ter,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun jumlah kes memandu di lorong kecemasan menurun kepada lima kes sahaja berikutan kekerapan rondaan yang dilakukan pasukan penguat kuasa di lebuh raya – utusan