Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, kempen itu merupakan program gotong royong kebersihan secara mega, yang digerakkan oleh kerajaan negeri.
Menurut beliau, kempen antara lain untuk menggalakkan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran dan kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata, objektif utama kempen itu adalah untuk menjadikan Perak sebuah negeri yang terbersih, indah dan sejahtera, tidak hanya memadai dengan penyediaan perkhidmatan, infrastruktur dan kemudahan awam kepada masyarakat.
“Sebaliknya masyarakat perlu dididik untuk berubah ke arah kehidupan yang membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar,” katanya ketika berucap di mesyuarat penuh Majlis bulan Mac di sini pada Khamis.
Turut diadakan majlis angkat sumpah Ceylyn Tay Wei Lung sebagai Ahli Majlis MBI bagi tempoh 2017 / 2018 dan taklimat pelancongan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Sdn. Bhd., Zuraida Md Taib.
Zamri memberitahu, kempen akan bermula seawal jam 6.30 pagi dan pihak MBI telah mengenalpasti 15 ‘checkpoint’ di sekitar pusat bandar untuk tempat permulaan kempen.
Menurutnya, antara ‘checkpoint’ itu ialah Stesen Keretapi, Masjid Negeri, Medan Kidd, Little India, Jejak Warisan, UTC, Memory Lane, Medan Istana dan Kinta Riverfront.
“Oleh kerana kempen ini seperti konsep perang, aktiviti yang bermula daripada setiap ‘checkpoint’ akan ‘attack’ ke arah Padang Ipoh di mana majlis pelancaran akan disempurnakan,” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru wargakota Ipoh akan datang beramai-ramai menyertai kempen, baik dari sektor awam, swasta, mahupun pertubuhan bukan kerajaan.