KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan seramai 102 warga Malaysia berhijrah ke Syria yang secara langsung terbabit dengan aktiviti militan, dari 2013 hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata daripada jumlah itu, 37 orang disahkan terkorban di Syria dan 11 lagi sudah kembali ke tanah air.

Beliau berkata pihaknya masih giat meneruskan misi untuk membawa pulang baki 54 individu yang masih berada di negara itu.

“11 orang yang dibawa pulang termasuk seorang wanita dan dua anaknya yang dibawa pulang ke tanah air, pada 6 Oktober lalu.

“Proses membawa pulang tiga beranak itu menelan masa tiga minggu hingga sebulan.

“Tiada proses terlalu rumit, dalam hal ini kita mohon bantuan Kedutaan Malaysia di Turki (berdekatan sempadan Syria).

“Kita selesaikan masalah termasuk soal warga negara tiga beranak itu dengan sebaiknya,” katanya pada sidang media khas Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata pihaknya mengesahkan terdapat empat lagi individu di Syria menyatakan hasrat untuk pulang ke negara ini.

“Latar belakang mereka tidak boleh didedahkan. Proses membawa pulang masih terlalu awal.

“Kita juga ada prosedur operasi standard (SOP), kita akan buat penilaian terhadap mereka yang mahu pulang,” katanya – berita harian