KUALA LUMPUR: Kesemua 11 Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) memberi sokongan penuh kepada Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamad berkata, sokongan itu seperti mana yang telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini.

“Seperti yang telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini, Parti AMANAH mengesahkan bahawa semua 11 orang Ahli Parlimen Parti Amanah Negara menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan memberi kan kepercayaan kepada beliau untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya lagi dalam kenyataan ringkas itu, di sini hari ini.

Dalam sidang media awal hari ini, Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau telah mempunyai sokongan majoriti yang kukuh daripada Ahli Dewan Rakyat untuk membentu kerajaan baharu.

Ujarnya lagi, dengan sokongan itu, Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ‘jatuh’. – Awani