LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Perak berjaya menahan 11 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan tertangkapnya tiga bot nelayan tempatan kelas B1 yang melakukan kesalahan menangkap ikan bawah 12 batu nautika melalui Op Benteng Laut.

Penahanan berjaya dilakukan oleh Kapal Maritim Malawali pada jam lebih kurang 7.15 malam 19 Jun lepas di perairan Hutan Melintang, iaitu 6.4 batu nautika Barat Daya Sungai Belukang melalui maklumat dan aduan dari penduduk setempat.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, PATI yang terdiri dari tiga warganegara Indonesia dan lapan warganegara Myanmar yang berumur di dalam lingkungan 17 hingga 40 tahun akan didakwa di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
“Kesemua tahanan menjalani prosedur saringan covid 19 dan diletakkan di Pejabat Daerah Manjung sementara menunggu keputusan.

“Pihak kami mengumpul aduan salah laku yang disalurkan dan bertindak mengikut masa yang sesuai,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

 Beliau mengalu-alukan kerjasama komuniti maritim menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tentang aktiviti PATI dalam usaha menggempur PATI yang menyeludup masuk melalui sempadan perairan negara.

Di samping itu, Sharizan turut menyatakan penghargaan dan berterima kasih kepada penyalur maklumat di kalangan penduduk setempat sehingga berhasil membanteras tiga buah bot tersebut.

Orang awam dan komuniti maritim perlu bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang mebabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak 05-6838737.