PULAU PANGKOR – Seramai 11 pelajar sebuah sekolah menengah bersama seorang guru wanita terkandas hampir lima jam selepas sesat ketika mendaki Hutan Simpan Kekal Sungai Pinang, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak memaklumkan, panggilan berhubung kejadian itu diterima sekitar jam 9.45 malam.

Menurutnya, kesemua mereka dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Selangor ditemui sesat dari jarak 2 km dari kaki bukit.

Bagaimanapun menurutnya, semua mangsa ditemui anggota penyelamat dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan, hanya mengalami keletihan dan lesu.
Tiada kecederaan namun semua mangsa berada dalam keadaan keletihan. – Foto JBPM Perak
“Perjalanan untuk ke lokasi mengambil masa lingkungan tiga jam, mangsa ditemui sekitar jam 2.50 pagi tadi.

“Liputan talian yang agak baik memudahkan proses pencarian dilakukan, mereka semua dapat dihubungi melalui telefon,” katanya.

Operasi diketuai Suhaimi Nijar dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor itu tamat pada jam 3.15 pagi – sinar