Oleh: Aida Aziz

KAMPAR: Seramai 1,123 orang guru sekolah menengah dari daerah Kinta Selatan, hari ini, menerima agihan tablet Lenovo mengandungi aplikasi Tutor Guru dan e-paper Utusan Malaysia.

Tablet itu adalah sebahagian daripada pembekalan peranti digital itu kepada guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia sebagaimana yang diputuskan melalui pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober tahun lalu.

Majlis penyampaian tablet tersebut yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Menurut beliau, tablet tersebut bakal memudahkan tugas guru-guru dalam menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Sebelum ini, tablet-tablet sebegini sudah diagihkan di daerah Kuala Kangsar dan Larut Matang & Selama.

“Diharapkan kemudahan yang ada ini digunakan sebaik-baiknya bagi memastikan sistem pendidikan berjalan lancar, selari dengan teknologi semasa,” katanya.

Hadir sama ialah wakil Kumpulan Utusan selaku Ketua Projek, Faridah Hashim dan pengetua semua sekolah yang terlibat.

Kumpulan Utusan merupakan pembekal yang dilantik menguruskan pembekalan, penghantaran, pengujian dan pentauliah tablet tersebut.

Pengagihan tablet tersebut bermula tahun lepas dengan fasa pertama melibatkan Sarawak dan fasa kedua di Kuala Lumpur dan Selangor.

Perak, Putrajaya dan Negeri Sembilan termasuk dalam fasa ketiga pelaksanaan program pengagihan alat bantu mengajar tersebut.

Tablet tersebut akan menjadi hak milik penuh guru-guru berkenaan selepas proses serahan dilaksanakan sepenuhnya oleh pembekal.

Sebanyak 39,269 tablet disediakan untuk semua guru di 1,099 buah sekolah di Negeri Perak.

Peranti itu berfungsi untuk membantu para guru mengakses pangkalan data soalan dan memudahkan penyediaan latihan kepada murid-murid menerusi manfaat penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat.

 

Gambar- Sinar Harian